Friday, July 31, 2009

KEMAAFAN YANG TERINDAH

“ Cikgu tak payah nak ajar saya !! Mama dan papa saya pun tak pernah nak tegur apa yang saya buat .Cikgu cuma dibayar gaji mengajar saya, selebihnya saya sendiri yang menentukan..” Sofea Erina mengambil beg galasnya lalu menapak pergi.

Cikgu Rozaini yang terkenal dengan panggilan Cikgu Ros hanya terdiam . Dia berdiam bukan kerana kalah. Dia berdiam kerana sikap kesabaran dan dedikasinya yang kukuh. Dia memberi ruang anak remaja itu melepaskan rasa hati. Biarlah dia berdiam sekarang kerana diamnya ini akan memberi ruang untuk mereka kelak.

Hari Isnin, jam menunjukkan pukul 9.15 pagi. Sekejap lagi Cikgu Ros akan menjengah ke kelas 6 Atas 1 untuk mengajar Bahasa Melayu Kertas 1.

” Kau dah siapkan nota yang cikgu minta Pia??” Suara Fazlan mengejutkan lamunan Sofea. Dia memandang wajah Fazlan, ketua kelas malah anak emas Cikgu Ros, yang juga guru kelas mereka.
” Aku siap ker, aku tak siap ker, kau susah hati naper??”
” Aku tak nak Cikgu Ros marah kau nanti.” Fazlan cuba berlembut. Dia tahu di sebalik kekerasan hati Sofea Erina, ada tersembunyi kelembutannya. Gadis itu Cuma kekurangan kasih sayang keluarga menjadikan dia degil, kepala angin dan egois.

” Aku punya suka lah. Biar dia marah aku. Biar dia naik darah setiap kali dia marah aku. Aku benci dengan sikap prihatin dia. Aku tak suka lah orang ’care’ pasal aku. Aku nak bebas tau tak!! Aku nak aku buat apa yang aku nak buat. Bukan nak buat apa yang orang lain nak aku buat.” Ujarnya lagi. Kemudian menarik kerusi untuk bangun.

” Bagi pas keluar. Aku nak pergi tandas! ”
” Cikgu masuk kejap lagi.” Fazlan cuba memujuk.
” Aku keluar jap.” Kata Sofea lagi dan berlalu tanpa mengambil pas keluar.

Jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Cikgu Ros masuk ke kelas dan serentak ucapan salam dan doa bergema. Mata Cikgu Ros terpahat pada kerusi Sofea Erina yang masih kosong. Hatinya dilanda persoalan. Datang ke tak Sofea hari ni?

Semua pelajar telah duduk.Cikgu Ros mendekati Fazlan. Ketua kelas yang bertanggungjawab pada mata Cikgu Ros. Dia senang dengan pembawaan diri Fazlan yang bersahaja, tenang dan rajin itu.
” Lan, Sofea datang ke tak?”
” Datang cikgu, dia pergi tandas sekejap tadi.”
” Baik. Kita mula kan pelajaran hari ni, bagi tajuk fonolgi.” Cikgu Ros memulakan sesi pengajarannya.

Selepas setengah jam, Sofea tidak muncul. Baik Fazlan, mahupun Cikgu Ros gelisah dalam hati.
” Baiklah. Selepas ini, sila jawab soalan pada muka surat 57 ya .” Akhirnya pengajaran dihentikan. Semua pelajar akur dengan arahan Cikgu Ros dan mula mengerjakan latihan yang diberi.
Bunyi tapak kaki melangkah semakin dekat.
” Tok! Tok ! Tok! ”
” Masuk”

Sofea Erina masuk tanpa pamitan pada Cikgu Ros. Begitulah dia, setiap kali masa Cikgu Ros, dia akan melarikan diri, dan masuk tanpa salam.
”Sofea, awak pergi mana tadi? Hampir 45 minit awak keluar. Awak masuk tanpa memberitahu apa-apa pada saya.” Suara Cikgu Ros kedengaran jelas.
” Saya ke tandas .” Sofea menjawab tanpa memandang wajah cikgunya.
” Mana nota yang cikgu minta semalam? Dah siap?”
” Nota saya tertinggal kat rumah .”
” Tertinggal ker tak buat?”
” Suka hati cikgu lah.”

Fazlan dan beberapa pelajar lain menoleh beberapa ketika sebelum menyambung kerja mereka.
”Awak ke tandas atau ponteng kelas?” Suara Cikgu Ros dekat dengan telinganya. Sofea angkat muka. Guru berwajah manis dan berusia lewat 30-an itu sudah berdiri begitu dekat dengannya.

” Saya ponteng kelas. Puas hati cikgu?” Sofea bersuara dengan berani. Cuak merajai hatinya melihat keprihatinan guru itu yang dianggapnya cuba berlagak persis ibu bapanya.

” Sofea, saya nak awak jumpa saya lepas sekolah hari ni. ” Cikgu Ros bersuara lagi dan melangkah ke meja guru. Wajahnya serius tanpa segaris senyuman.

Jam menunjukkan 1.15 . Sofea , Aida dan Fazlan masih dalam kelas.
”Cepat lah Lan. ” Sofea menggesa untuk pulang.
” Kau ni kan, tak sabar betul.” Fazlan yang berkulit cerah dan tinggi itu mengemas beg sekolahnya. Sudah ramai pelajar yang melangkah keluar kelas mengejar kenderaan masing-masing untuk pulang.

” Kau kan Pia, tak baik tau buat Cikgu Rozaini macam pagi tadi! ” Fazlan bersuara lembut. Tidak mahu membangkitkan panas anak gadis itu.

” Betul Pia, Cikgu Ros baik sangat. Tapi kau layan dia macam tu. Sampai hati kau ya! ” Aida menambah dan bersetuju dengan Fazlan.

” Ehh...korang ni kan, bela sangat cikgu tu apa kes? Aku tak suka dia lah. Titik.” Ucap Sofea lagi. Mukanya kemerahan menahan kemarahan.Gadis kulit putih merah itu cukup marah bila berbicara pasal Cikgu Ros.

” Jom Pia, kami temankan kau jumpa Cikgu Ros .” Ajak Fazlan.
” Huhh...tak ingin aku. Biar dia bawa aku jumpa cikgu disiplin, aku tak sudi nak jumpa dia. Ambil berat pasal aku konon. Mama aku pun tak macam tu.” Sofea Erina mengulas lanjut.
” Jangan lah. Niat cikgu baik. Cikgu nak kau jadi budak baik .Kau pandai kan, cikgu nak kau berjaya .” Pujuk Fazlan lagi.

” Aku tak suka cikgu ambil tahu hal aku. Kau suka dia, kau pergi lah jumpa dia.Buat kakak angkat terus, senang nak ngadu masalah kan.” Tambah Sofea Erina.
Fazlan dan Aida ketawa serentak. Lucu dengan usikan Sofea.
” Aku nak balik. Hantar aku ya Lan.”
”Jom. ” Mereka berjalan serentak menuju ke tempat letak kereta Fazlan.

*************

Esoknya, pagi-pagi lagi seorang pengawas datang memanggil Sofea Erina ke bilik disiplin. Sofea Erina tanpa rasa bersalah bergegas dan tanpa rasa takut sekalipun. Malah ada rasa marah bertandang. Sudah pasti Cikgu Rozaini sudah buat aduan dia ponteng kelas.
” Masuk.”
Dia nampak ada dua orang guru disiplin bersama Cikgu Rozaini.
” Sofea, awak ponteng kelas masa Cikgu Rozaini semalam ya?” Cikgu Khairudin memulakan bicara.
”Malah, ada pelajar mengadu awak kurang ajar dengan Cikgu Rozaini dua hari lepas.Awak mengaku bersalah?” Tambah guru berusia 48 tahun itu.
Sofea Erina merenung wajah guru-guru itu satu demi satu.
Dia benci mereka semua. Dia benci orang-orang yang cuba mengatur hidupnya. Dia mahu bebas seperti kebebasan yang diberi oleh mama dan papa di rumah.

” Saya tak suka Cikgu Ros ambil tahu hal saya.. Saya tak suka cikgu. Saya benci! Saya benci!!! ” Tempik Sofea lalu berlari keluar.
” Sofea! Tunggu dulu Sofea ! ” Cikgu Rozaini memanggil. Cikgu Ros mengejar Sofea hingga ke pintu pagar sekolah. Sofea Erina cuba untuk melintas jalan, membawa hati yang luka.
Dia sedih., dia luka kerana dia keseorangan. Dia dambakan kasih sayang mama dan papa. Dan, dia sebenarnya sayangkan Cikgu Ros tapi dia egois.

” Sofea, awas .” Tiba-tiba Sofea terasa badannya ditolak dengan kuat. Serentak bunyi brek kereta berdecit di jalan raya. Cikgu Rozaini sudah tidak bergerak lagi.
Sofea Erina yang jatuh ke tepi jalan segera bangun dan mendapatkan Cikgu Ros. Air matanya tumpah di situ. Dia hilang kawalan diri. Matanya berpinar. Cikgu Rozaini tak bergerak lagi. Sekujur tubuh itu dipeluk erat .Mukanya pijar dan dia tidak ingat apa-apa lagi.

************
Mereka bergegas ke hospital daerah .
” Pia! Pia ! ” Suara Fazlan kedengaran lembut. Dia ingat suara itu. Dia kenal. Dan dia sangat merindui lelaki itu. Dia tahu dia sayang dan cinta pada Fazlan. Dia tahu Fazlan juga begitu. Fazlan ambil berat tentang dia. Fazlan memahami dia dan menyokong dia.
” Cikgu! Cikgu! Pia minta maaf Cikgu! ” Sofea Erina meracau-racau dalam mimpi. Dia menangis memanggil Cikgu Rozaini.
”Pia, bangun Pia.” Suara Fazlan bergema lagi.
Perlahan dan lembut matanya dibuka. Fazlan, dan Aida berada di sisi.
Fazlan menggenggam erat jemarinya. Dia rasa selamat dan tenang.

” Pia berdosa. Pia berdosa kat Cikgu Ros” Luah Sofea dalam tangisan.
” Pia. Belum terlambat lagi. Cikgu Ros tak apa-apa. Dia cuma terkejut masa kereta brek kecemasan. Dia pengsan sebab terkejut . Tapi, tak ada sesiapa yang kena langgar. Semua orang selamat Pia.
” Pia nak jumpa Cikgu Ros Lan! Pia nak jumpa dia sangat. Pia nak cium tangan dia. Pia nak peluk dia. Pia nak sujud di kaki dia. ” Luah Sofea lagi.
”Okay! Okay! Nanti Lan suruh Cikgu Ros datang ya! Pia lemah lagi. Pia kena rehat dan makan ubat. Lan dah telefon mama dan papa Pia. Nanti diorang datang.”
” Lan, Aida, maafkan Pia ! ”
”Dahh...tak perlu nak dimaafkan. Pia pun dah sedar. Kita buka buku baru.” Aida memujuk. Fazlan mengukir senyuman. Redup matanya menyorot wajah gadis idamannya.Dia gembira Sofea Erina sedar sebelum terlambat. Dia akan tetap memuja gadis itu.
” Assalamualaikum! ” Suara lunak merdu itu memecah kesunyian antara mereka.
”Cikgu Rozaini! Cikgu Ros?”
Tanpa sesaat jua, Sofea memeluk Cikgu Ros. Menangis dalam dakapan guru itu.
”Maafkan segala salah silap Pia cikgu. Pia berdosa dengan cikgu.”
” Cikgu di sini untuk kamu Pia. Cikgu dah maafkan Sofea Erina dan cikgu nak Pia bangkit, buka buku baru dan terus belajar untuk STPM.”
” Cikgu ! Pia berdosa! ”
” Cikgu maafkan! ”
” Terima kasih cikgu . Ini lah kemaafan terindah dalam hidup Pia. Selamat Hari Guru cikgu . Pia sayang cikgu.” Sofea memeluk erat Cikgu Rozaini.
Aida dan Fazlan juga tersenyum bahagia.

Selamat Hari Guru !!
16 hb Mei 2009
6.45 pm.

No comments: