Friday, July 31, 2009

KIDUNG CINTA BUAT MU

Majlis jamuan makan sempena minggu suai kenal pelajar tahun pertama sudahpun berakhir. Dewan Tunku Syed Putra sedang dibersihkan oleh beberapa pelajar yang bertugas.Dina, Firas, Syikin, Azri, dan Julia masing-masing sibuk membuat semakan tugas terakhir. Mereka ingin memastikan semua sudut telah pun dibersihkan.Dina dan Syikin mencatat sesuatu di atas kertas setelah memastikan semuanya tersusun.

” Boleh saya mengganggu?” Satu suara memancing perbualan mereka.
Dina mengangkat wajah, diikuti oleh Syikin. Mereka melemparkan segaris senyum .
”Kenapa? ” Soal Syikin mesra dengan senyuman bergayut di bibir.Tambahan pula yang bertanya itu boleh tahan tampannya.
” Saya nak minta tanda tangan Dina Aulia.” Dia berbicara dan menjatuhkan pandangan ke wajah Dina.
”Saya? Kan, semua buku dah dikutip, tak perlu lah nak tanda tangan lagi. Lain kali panggil saya Kak Dina boleh?” Ujar Dina lembut dan menikam anak mata pelajar baru itu. Renunganya redup dan bersahaja.Tenang dan boleh mencairkan hati mana-mana gadis.

” Saya nak simpan buku ini sebagai kenangan.” Ujar pelajar itu dan menyuakan buku rekod tanda tangan pelajar baru kepada Dina.Dina termangu seketika sebelum bertindak. Melihat Syikin memberi anggukan, dia mengambil buku itu, sekilas membaca nama yang tertera di kulit hadapan. Dia membaca dalam hatinya nama Syamil Iskandar. Dina mencoret sesuatu. Buku itu bertukar tangan sekali lagi.

”Terima kasih .” Ucap pelajar lelaki itu. Senyuman bermain di bibirnya dan dia bergegas pergi.
”Ehemm....ada peminat ker?” Suara Firas mengejutkan lamunan mereka.
” Aku tak kenal pun, pelajar baru.” Dina menjawab dan tidak suka dengan gurauan Firas.
”Haaa....nak mula gaduh lah tu.” Syikin menyampuk. Dia tersengih memandang Firas yang menjadi gilaan siswi. Firas bukan saja terkenal dengan gelaran jaguh bola keranjang tetapi juga terkenal dengan kepintarannya berhujah.

Bulan Julai sudah pun berlalu, bulan Ogos menggamit tiba.
Latihan bola tampar hampir selesai. Dina Aulia dan Syikin berkemas.
” Saya nak cakap sikit dengan Kak Dina.” Satu suara membuatkan Dina dan Syikin menoleh.
”Pang........” Tamparan singgah di wajah mulus Dina. Rambutnya yang diikat ekor kuda bergerak-gerak.Dina memegang pipi yang pedih dan pijar.
”Jangan ganggu teman lelaki saya, kak Dina boleh cari lelaki lain.Dan, orang miskin macam Kak Dina tak setaraf dengan Syamil anak kerabat raja.” Amira melepaskan kemarahan di dada.
Dia tahu, Dina Aulia menjadi penyebab cintanya ditolak.Dia tahu Syamil meminati malah mencintai gadis itu dari jauh.

”Saya tak faham.Kak Dina tak pernah dan tak akan rampas kekasih orang.” Ujar Dina dalam kesabaran dan menenangkan Syikin yang mula naik marah melihat sikap kasar Amira .Kisah mereka menjadi tontonan beberapa kelompok siswa dan siswi yang berada di situ.
”Jauhi Tengku Syamil Iskandar! Dia milik saya” Ujar Amira angkuh dan berlalu pergi tanpa pamitan.

Hari minggu mereka bertemu di perpustakaan universiti .Selepas habis belajar mereka berhenti minum di kafeteria berdekatan hentian bas.
”Aku ada dengar kes kau kena tampar hari tu, maaf kalau aku tanya!” Firas memulakan perbualan.Syikin , Azri dan Julia menjadi pendengar.
”Aku tak pernah kenal budak tu, mahupun budak perempuan tu.Aku tahu dia junior kita, tapi aku tak pernah kenal, berkawan jauh sekali, apa lagi nak rampas kekasih dia.” Dina bersuara kendur.
” Kau tak tahu, ada pelajar tahun satu minat sangat kat kau.Dah tangkap cinta.” Firas bersahaja memberitahu.
”Siapa?Mana kau tahu?” Julia menyampuk penuh minat.
”Memang dia anak kerabat raja. Tengku Syamil Iskandar , budak KL. Dia dulu duduk sebilik dengan kawan aku.” Firas bercerita lanjut.
” Aku tak suka dengar gosip kau ni. Aku balik dulu.Jumpa malam ni kat foyer.Kita ada perjumpaan Kelab Pencinta Alam kan!” Dina bangun menepuk-nepuk punggung seluarnya. Mengambil beg sandang dan bergerak pergi.

” Kau lah...tengok dia dah merajuk.” Syikin merenung wajah Firas.
”Aku cakap yang betul apa! Budak Syamil tu nak memikat Dina.” Firas bersuara keras.
”Melepas lah kau Firas! Syamil tu, boleh tahan tampannya! Anak orang kaya lagi,jaguh bola keranjang juga aku dengar.” Azri mula memancing perasaan Firas.

”Hei...Dina tu, bukan perempuan mata duitan! ” Firas membela.
”Kau tak takut terancam ker?” Syikin mengusik dengan seyuman mesra.
” Jadi lah pungguk merindu bulan” Julia menambah.Mereka ketawa serentak.

Dina mengambil jalan jauh pulang ke biliknya.Dia singgah di tepi sebuah tasik buatan .Beberapa siswa dan siswi juga menghabiskan masa santai di sekitar tasik yang tenang itu.

Dina melabuhkan punggungnya.Dia membetulkan baju kemeja –T yang dipakainya. Rambutnya yang lepas bebas dibiarkan ditiup angin petang.
”Boleh saya duduk?” Suara itu menggamit anganan Dina. Syamil duduk sebelum Dina menjawab.
” Saya Syamil. Panggil Mil. Saya nak minta maaf atas kejadian Amira tempoh hari.Saya harap Dina tak ambil hati.Memang perangai dia macam tu. Saya dan Amira tak ada apa-apa hubungan, malah saya bukan kekasihnya.Dina tak rampas saya daripada Amira, sebab...sebab sememangnya saya yang jatuh hati pada Dina.” Panjang lebar Syamil membuka bicara.

Dina merenung tepat ke mata Syamil. Anak matanya coklat, wajahnya putih bersih, hidungnya lebih mancung dari lelaki Melayu biasa.Dia juga lebih tinggi dari Azri. Dia memang tampan dan kacak pada mata Dina.Namun, dia terlalu berterus-terang.Dina menelan liur mencari kekuatan.

” Panggil saya Kak Dina. Awak tak perlu jelaskan apa-apa Tengku Syamil.Saya tak mahu tahu apa-apa tentang diri awak. Dan saya, tidak mahu awak hadir dalam hidup saya. Pasal Amira, saya dah lupakan. Jangan kerana pertemuan ini, saya ditampar sekali lagi. Saya anak orang miskin yang sedar diri .” Dina memberi jawapan yang ikhlas.

Namun dia tidak tahu mengapa dia harus rasa sebak dan terharu di hadapan wajah tenang itu. Wajah Syamil cukup tenang.Setenang air di kali. Tiba-tiba sahaja bibir matanya terasa pijar dan pedih.
”Awak menangis?” Syamil menyoal. Dia cuba memegang bahu gadis itu yang lebih tua dua tahun daripadanya. Dina Aulia mengelak.

” Saya minta maaf.Saya tak berniat buat awak menangis.Berilah ruang untuk saya mengenali awak Dina. Saya tahu, usia kita berbeza, tapi saya tidak mengukur dari sudut itu. Saya melihat awak seadanya awak Dina.” Syamil menambah dengan lembut dan mendalam.

Dina terdiam sejurus mencari ketabahan. Kenapa lelaki ini terlalu berani. Kenapa ada getar di sudut hatinya bila memandang wajah Syamil. Dia tidak berperasaan sebegini bersama Firas sedangkan dia tahu Firas mengharapkan cintanya.

” Syamil, dengar! Saya harap kita tak akan jumpa lagi. Saya tak perlu jelaskan apa-apa pada awak.” Dina bangun dan menapak pergi.Meninggalkan wangiannya bersama semilir mengorak senja.
Mesyuart Kali Ke-2 , Kelab Pencinta Alam hampir selesai. Azri yang merupakan tonggak utama kelab itu membuat ulasan akhir.

” Dina , nampaknya kau kerja sorang lah. Patutnya ada sorang lagi ahli kita, tak datang pulak. Aku akan tolong apa yang patut. Kau tak kisah ker cari penaja sorang-sorang?” Azri bersuara serius.
” Tak apa . Nanti kalau ada masalah aku cari korang! ” Dina memberi keyakinan tentang projek pemuliharaan alam hijau yang akan mereka lancarkan dua bulan lagi.
” Assalamualaikum! Maaf saya terlambat. Ada kemalangan dekat Jalan Sungai Dua tadi.” Ujar siswa itu lalu duduk di barisan lelaki. Bilik Tutorial itu dipenuhi 15 orang AJK Tertinggi dan 10 orang AJK Kecil.

Dina memandang gerangan yang bersuara kerana dari tadi dia asyik menulis maklumat dari Syikin.
” Haaa....jadi awak lah ahli yang kami sangka tak datang tadi.” Ujar Azri dan berjabat tangan. Dia mengukir senyuman, dua tiga orang siswi tahun satu tersenyum-senyum memandangnya. Dia bersikap tenang sambil matanya tertancap pada satu wajah.

”Saya di bahagian mana Abang Azri? ” Soal Syamil bersahaja. Tangannya tak betah membelek-belek kertas kerja yang terkumpul di atas meja.
” Mil di bahagian Penaja dengan Kak Dina Aulia. Ada bantahan?” Ujar Azri berbahasa.
Syamil tersenyum puas. Memang dia mengharapkan satu bahagian dengan Dina.Dia tahu itu suratan takdir memepertemukan dia dengan gadis pujaannya.
Hati Dina membengkak, setan punya Azri letak mamat tu sekali dengan aku! Suara hatinya bergema marah.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Lepas kuliah , mereka makan tengahari di kafeteria. Meja yang dipenuhi lima sekawan itu gamat tiba-tiba. Ketawa Azri mencuri pandangan beberapa siswa dan siswi.
” Kau saja nak sakitkan hati aku! ” Dina bersuara.
” Hei...malam tu, kau tak membantah bila aku cakap.” Azri menambah.
” Kau tak bagi aku peluang. Kau jatuhkan hukuman tanpa perbicaraan.Aku tak suka kerja dengan mamat tu. Semacam jer. Panggil kau Abang Azri, tahu bahasa, panggil aku tak tahu budi bahasa pulak.” Dina meluahkan marahnya. Azri dan Syikin ketawa kecil.
” Lama-lama aku tengok, mamat tu dengan kau secocok lah. Aku suka pulak. Macam cincin dengan permata.” Azri makin galak menabur garam pada luka Dina.
” Kalau kau join kami kan senang.Aku geng dengan kau Firas.” Dina membuahkan kesalnya kerana Firas tidak ikut serta projek mereka. Firas mempengerusikan projek lain buat masa ini.
” Kau bagi tau aku, kalau budak tu kurang ajar! Aku ajar dia nanti! ” Firas tiba-tiba bersuara keras dan mengancam. Cemburunya makin menebal.Tambahan pulak, ada rakan kuliahnya menceritakan pertemuan Dina dan Syamil di tepi tasik tempoh hari.Dia hairan kenapa hal itu Dina rahsiakan. Atau mungkin Dina juga ada menaruh rasa pada budak tahun satu itu.

”Jangan cari gaduh kawan! Jangan sebab perempuan, ada yang tumpah darah pulak.” Azri mengusik lagi. Dina dan Firas tahu usikan itu untuk mereka.
” Jom bayar! Nak balik” Dina menoktahkan perbulan.
”Aku belanja! ” Firas bersuara, bangun menuju kaunter.
” Berapa?” Firas mengeluarkan not lima puluh ringgit.
” Abang , tadi ada pelajar nama Syamil dah bayar untuk meja nombor 3, katanya nak belanja Dina dan rakannya.” Jujur pelayan kedai memberitahu.

Tiba-tiba sahaja darah meruap ke wajah Firas. Terasa dirinya dipersenda . Terasa ancaman Syamil begitu kuat seperti sedang menampar-nampar wajahnya.
Matanya menyala tiba-tiba. Dia menoleh dan melihat Syamil dan teman-temannya baru berlalu.

Situasi berubah tiba-tiba. Tumbukan demi tumbukan dan sepak terajang bersilih ganti menimpa Syamil. Dia yang tidak bersedia tidak mampu membalas. Tenaga Firas yang seperti lembu jantan mengamuk bernar-benar kuat .

Syamil gagal mengawal diri. Darah sudah membuak-buak dari mulut dan hidungnya. Perutnya teras mual dan meloya membuatkan dia muntah di situ. Firas hilang kawalan diri. Dia terasa dipegang kejap.

Azri dan tiga orang siswa lain sedang menahannya dengan kukuh. Dia nampak dalam api marah dan cemburunya, Dina sedang meriba kepala Syamil yang dipenuhi darah dan tidak bergerak-gerak.

Gadis itu nampak aneh. Dina kelihatan bimbang yang teramat. Dina kelihatan pucat melihat Syamil tidak bergerak.Dan, Dina seakan-akan mengalirkan mutiara jernihnya .
Keadaan menjadi tenang kembali lewat petang itu.

@@@@@@@@@@@@@

Kuliah jam 3 sudah berakhir.
” Dia macam mana? ” Tanya Dina kepada Azri. Sudah tiga hari Syamil terlantar di bilik Azri. Dia tidak berani pulang , bimbang keluarganya akan membawa hal tersebut ke pihak atas. Dia sudah berjanji tidak akan mendakwa Firas ke Unit Hal Ehwal Pelajar, walaupun ada pensyarah dan tutor yang tahu kejadian itu.

” Dia belum sihat betul-betul. Tak lalu makan, mana nak sihat,” Ujar Azri .
” Firas macam mana? Tak nampak batang hidung lagi.
” Aku tak sangka Firas bertindak macam tu.” Kata Julia. Syikin juga turut kesal.
” Dia balik Bayan Lepas, rumah kakak dia tiga hari.Dia tak cakap banyak.” Beritahu Azri lanjut.
” Sebab aku, dia jadi begitu.Aku tak tahu dia sampai tahap macam tu marah dekat Syamil. Aku dan Syamil bukan ada apa-apa.” Dina memberitahu.

Dina kesal dirinya jadi bahan rebutan. Dia tidak bangga menjadi rebutan lelaki.Dia malu kerana dirinya, Firas dan Syamil hampir berbunuhan. Bagi Dina Syamil tak bersalah walaupun dia sesekali geram dan marah dengan sikap berani lelaki itu. Firas tak patut bertindak melulu dan menyerang Syamil.
” Kita pergi lawat dia petang ni kat bilik aku? Nak?” Azri mengajukan soalan.
Dia melihat wajah Julia dan Syikin minta sokongan sedangkan dia mengharapkan Dina setuju.
” Aku ada hal.” Dina bersuara lambat-lambat.
” Aku ikut.” Kata Syikin.
” Aku pun ikut.” Tambah Julia.
” Kau nak pergi mana?” Tanya Azri
”Aku, aku....” Dina hilang punca. Hatinya tiba-tiba bergetar hebat. Dia tidak ada kekuatan untuk bertemu Syamil. Dia tidak tahu kenapa. Perasaan apakah yang sedang merajai hati ini! Hatinya mengutuk sendiri. Kalau tak kerana perasaan, kenapa aku tak ada keberanian melihat wajahnya.
” Kau malu nak jumpa dia” Teka Azri.
” Buat apa nak malu? Kau bukan ada apa-apa kat dia.” Syikin pantas menjawab.
” Kalau aku lah, terharu betul ada lelaki yang sanggup bergadai darah untuk aku.” Julia menokok dengan mengusik Dina.
” Aku ikut. Jangan korang nak kata aku syok kat mamat tu eh....aku tak ada apa-apa rasa kat mamat tu. Noktah. ” Jawab Dina tegas .Namun dalam hatinya dia goyah dengan jawapan itu.

@@@@@@@@@@@@@@@


” Duduklah.” Syamil berbahasa. Dia cuba untuk bangun dari perbaringannya. Namun tidak berupaya. Rasa sakit dan sengal kembali menyengat.Namun melihat wajah Dina, dia gembira. Rindu lara nya terubat .

Kesakitannya bertambah surut. Wajah itu sangat dirinduinya sejak dia terlantar sakit. Dia masih ingat betapa manisnya detik-detik cemas pada wajah Dina Aulia sewaktu dirinya diserang oleh Firas.

Dia bersyukur, setidak-tidaknya dia dapat rasa betapa Dina ambil berat akan dirinya. Kalau Dina secemas itu mana mungkin gadis itu tiada rasa padanya.Dia tahu gadis itu memendam rasa.
” Tak payah bangunlah kalau kau sakit.Mari aku tinggikan bantal.” Azri memecahkan tembok sepi yang menular.
” Mil apa khabar” Julia bertanya mesra mewakili dia, Syikin dan Dina yang kaku membisu. Mereka duduk di kerusi berdekatan katil.
” Mil macam ni lah kak Lia, Kak Ikin, dua hari lagi dah OK rasanya.Dah rindu nak pergi kuliah, lama tak tengok wajah pensyarah.” Syamil bergurau.

Matanya jatuh ke wajah Dina Aulia yang menunduk semasa pandangan mereka bersatu beberapa detik tadi.

” Rindu nak pergi kuliah ker nak tengok siapa Mil” Syikin pula menggiat. Dan Syikin terkejut kerana satu cubitan halus melekat di lengannya. Wajah Dina Aulia merona merah tiba-tiba. Syamil tersenyum puas melihat wajah itu. Sekejap pucat sekejap merah.Hatinya berbunga riang. Kesian Dina kena sindir.

” Belum makan? Bubur dah nak sejuk. Aku beli kan yang baru lah.” Azri memecah sepi sekali lagi.
” Aku ikut.” Kata Julia dan Syikin serentak.
Dina membesarkan matanya. Mereka sedang merancang sesuatu.
” Dina tunggu sini lah, kejap jer kami pergi, nanti boleh sembang-sembang, tak lah Syamil bosan sangat.” Azri pula membuat keputusan melulu.

Dina telah tersepit.Dia juga rasa bersalah dalam hal ni, dia akan minta maaf dengan Syamil nanti.Dina tak sempat bersuara , mereka sudah berlalu.Pintu bilik tidak ditutup, dibiarkan sahaja terbuka. Sebenarnya Dina tidak tahu, Syikin dan Julia hanya menunggu di luar pintu bukannya mengekori Azri.

Perasaan sepi, dan gelisah mengepung suasana. Syamil bergerak perlahan-lahan untuk duduk di katil. Lengannya terasa sakit.
” Saya bantu.” Dina menghulurkan tangan . Tatkala tangan itu bersatu, dia seram sejuk. Tak tahu apa yang melanda. Kehangatan tangan Syamil seperti api sedang mencairkan ais.
” Tangan awak sejuk Dina, awak takut pada saya?” Soal Syamil bersahaja. Lelaki itu nampak lebih tenang dan matang dari umurnya.
” Saya tak...tak...saya tak takut. Saya tak perlu jelaskan. Saya minta maaf sebab saya awak jadi macam ni.” Lambat-lambat bibirnya mengatur bicara.

Seketika, pandangan mereka bersatu . Lama dan lembut. Mendamaikan. Jantung Dina seakan tercabut. Panahan mata Syamil membuatkan dia gementar dan berpeluh.
”Jangan tengok saya macam tu boleh? Awak buat saya tak selesa.” Dina mula boleh mengawal dirinya.
“ Awak malu dengan saya? Awak kata awa tak ada rasa dengan saya. Tapi awak gementar, awak berpeluh, dan awak kedinginan.” Syamil bermain kata.
” Saya datang nak minta maaf sebab hal ini.Tak lebih dari itu Tengku Syamil Iskandar. ” Ujar Dina agak berani.
”Dina, mengaku sahajalah yang Dina ada rasa dengan Mil kan?” Ujar Syamil lembut. Dina seakan-akan tenggelam dalam kalimat itu.
” Rasa lapar. Boleh ambilkan bubur ?”
” Ni...”
” Saya tak boleh suap sendiri.”
” Awak nak dera saya ker?”
”Terserah, kalau itu anggapan Dina.”
” Saya bahagia . Seperti semua luka saya dah sembuh.”
Syamil menelan bubur sedikit demi sedikit. Dia nampak, malah dia dapat rasakan apa yang Dina sedang alami. Cinta. Cinta yang terpendam.

” Thanks!” Perlahan tutur Syamil namun sempat bertaut ke telinga Dina.
” Saya nak balik.” Dina bersuara.Tenggelam di dalam.
”Saya belum puas tatap wajah awak Dina. ” Syamil berani mengakuinya.
Dina tunduk tiba-tiba. Merona merah wajahnya. Dia terasa panas mukanya.Dia tahu Syamil memerhati semua itu. Dia tewas akhirnya. Tewas dalam rasa yang dia tidak pasti .
” Saya cintakan awak Dina.” Luah Syamil.
Dina rasa bahagia. Mengalir air matanya.

” Saya tidak tahu rasa itu, tapi saya merasai apa yang awak rasa Syamil.Awak mengajar saya tentang rasa itu ” Tutur Dina lembut.

Dia merenung wajah Syamil yang tenang. Rindu mereka bersatu. Syamil tersenyum bahagia. Kidung cintanya telah berlabuh.


Kencana Merana .
September 11 , 2008.
10.45 mlm.

No comments: