Friday, July 31, 2009

Cerpen Gadis Bertudung Putih

ARIANA melabuhkan punggung di atas katil. Kemudian merebahkan badan dan menutup mukanya dengan ‘teddy bear’ putih yang besar.
“Apa hal pulak hari ni?” Tanya ’room mate’nya Haryani.Gadis itu sedang leka membelek-belek majalah Remaja keluaran terbaru bulan itu, sambil meniarap atas katil yang bercadarkan alas warna merah jambu. Sesekali dia tersenyum sendiri, mungkin terkesan sesuatu yang lucu dalam majalah itu.

”Apa? Apa lagi? Kau rasa apa? Pak Lebai tu lah. Asyik-asyik sindir aku jer dalam kelas tadi. Ingat dia bagus sangat! Ingat dia macam tu, dah ’confirm’ jadi penghuni syurga?” Ariana melepaskan geram.

”Ishh...tak baik kau kutuk Pak Lebai tu. Baik pergi minta maaf kat dia. Dia tu bukan setakat Pak Lebai yang banyak ilmu agama, tapi Pak Lebai paling ’hot’ kat kolej kita ni tau!” Tambah Yani lagi.

”Eh! Yani... dia ’hot’ ker, aper ker, jangan lah nak panaskan aku sekali.” Ujar Riana lagi.
”Hari ni dia bagi tazkirah apa kat kau Riana?”
” Tadi lepas habis Rizal buat pembentangan, dia bagi pandangan bernas dia, ala-ala tengah berbahas kat dewan rakyat lagi. Siap bagi contoh dalam kelas tutorial aku tadi. Ingat aku tak tau, dia maksudkan gadis tak pakai tudung tu siapa?? Aku lah tu, dah aku sorang jer gadis Melayu tak pakai tudung sekelas dengan dia.” Riana menerangkan semula kejadian di dalam kelas Tutorial Komunikasi jam 11 tadi.

” Alaa...jangan ambil hati la beb! Riana, dia buat benda baik kan, jangan susah hati.Dia nak nasihatkan kau, selebihnya kau punya pasal lah, nak ambil pusing ker tidak.” Tambah Yani meredakan kemarahan Riana.

Sudah setahun mereka tinggal berdua, Yani sudah masak perangai Riana.Gadis itu paling tak suka sesiapa yang mempersoalkan penampilannya tambah lagi isu dia tak bertudung.
”Kau bela Pak Lebai tu kenapa? Suka dia? Aku tahu lah dia tu kacak, lawa, tapi kalau perangai buat sakit hati orang siapa nak?” Ujar Riana masih marah, tapi sudah menampakkan kekenduran.

” Aku tak bela sesiapa.Aku berkecuali. Pak Lebai tu kan, baik betul tau! Dua hari lepas, ’couse mate ’ aku, Nasir budak tahun 1, ada cerita dia tolong belikan tiket kapal terbang dekat kawan dia yang ’emergency’ balik Johor.” Cerita Yani penuh bersemangat.
Dia berharap, Riana tak akan membenci Pak Lebai lagi apabila mendengar cerita baik jejaka itu.

”Itu, sebab dia simpati! Bukan dia baik.” Ulas Riana menarik muncung.Lalu membalingkan beruang putih kesayangannya ke muka Yani. Gadis itu mengelak. Gamat suara mereka ketawa.

Jam bergerak ke angka 5.30 petang. Ariana dan Haryani baru bersiap untuk turun makan.
” Nak makan kat mana? Kat luar ke kat dalam?” Yani bertanya sambil membetulkan telekung biru yang dipakainya, tak mahu memperlihatkan bahagian dada.

Yani selalu nampak ayu pada pandangan Riana, gadis itu tidak lekang dengan baju kurung, jubah atau kebarung.Dia ada juga memakai seluar, tetapi yang longgar dan berbaju labuh melepasi punggung.

” Sejuk lah petang ni kan! Makan kat kafe saje lah, aku tak bawa jaket pulak.” Beritahu Riana yang kebiasaannya gemar dengan penampilan kasual, jeans lusuh dan baju lengan pendek, kadangkala kemeja tiga suku yang mengikut bentuk badan dengan ’skirt’ labuh .

Bagi Yani, Riana gadis baik, tahu batas pergaulan, tetapi penampilannya yang tidak menutup aurat membuatkan Pak Lebai selalu menggiatnya.

Anak orang kaya, orang KL, ramai macam tu, mak bapak pun kurang bagi perhatian, apa lagi yang dia tahu, mama Riana juga tidak bertudung.Bak kata orang, ’like mother like daughter’ .

Mereka berbaris untuk membeli makanan. Kemudian beratur membeli minuman.
Kafeteria itu memang luas dan selesa. Bahagian hadapan dihiasi lanskap air pancut dan kolam mini yang didiami ikan –ikan kecil warna-warni.Ruang makan yang selesa, dengan meja plastik dilengkap 4 kerusi.

”Aku cari tempat dulu ya.” Yani melangkah meninggalkan Riana yang membawa dua gelas air. Riana hanya mengangguk sambil tangannya lincah membayar harga minuman. Dia memusingkan badan dan segalanya berlaku pantas.Minumannya sudah jatuh melimpah ke lantai.Milo ais dan sirap limau yang dipegang membasahi baju Melayu lelaki itu.

”Alamak Pak Lebai! Habis aku!” Riana menekup mulutnya yang lancar tiba-tiba.Dia dengar ke tak! Lantaklah, bisik hati kecilnya.

Pak Lebai berbaju Melayu biru muda yang nampak longgar di badannya, berseluar slek hitam dan bersongkok, dia kelihatan sungguh kacak, sungguh jernih dan tenang wajahnya. Aura baju biru muda itu menampakkan lagi kulitnya yang cerah berbanding lelaki Melayu biasa.

”Ishh....apa kau buat ni Riana?” Tak nampak orang?” Rizal, ’best friend’ Pak Lebai pulak yang banyak cakap. Riana terdiam, bulat matanya memandang wajah Pak Lebai.

Dia bersedia menerima apa sahaja yang akan dilontarkan jejaka itu. Saat ini, dia tak mampu bersuara.Dia tahu dia yang salah.Dia yang cuai, jalan tak tengok depan. Membelok tanpa signal terlebih dahulu. Bukan baju Pak Lebai saja basah, dia juga basah sampai ke lengan.

” Riana? Kau...” Kali ini Yani pula datang dan terkejut.Kemudian beberapa pasang mata mencuri tumpuan ke arah mereka.

” Tak apa, saya pun salah jugak, tak sempat tekan ’brek”. Kata Pak Lebai lembut. Dia sempat mempamerkan segaris senyuman.Butir bicaranya sungguh damai. Tenang. Setenang wajahnya ketika itu. Tak marah langsung bajunya basah!

” Maaf ya , Zamil. Riana tak sengaja tadi.Kami pergi dulu.” Kata Yani sambil menarik lengan Ariana.

”Lain kali, kalau Riana tak nak bagi lengan tu basah, pakai baju lengan panjang ya! ” Tambah Pak Lebai.

Rizal yang mendengarnya tersenyum pendek. Kena juga minah degil ni dengan kau Mil.

Kali ini, Riana terasa darahnya menyirap ke muka. Jadi merah jambu seluruh wajahnya yang putih kuning.Anak matanya bergerak-gerak.

Dia seperti hendak memulakan serangan balas. Baik aku cepat ! Kalau tak meletus perang dunia! Fikir Yani. Dia menarik Riana dan bergegas dari tempat itu.

@@@@@@@@@@@@@@@

Cik Laila selaku tutor mereka memberi tugasan baru. Mereka perlu membuat penyelidikan slanga penduduk tempatan dan beberapa perkara lain yang berkaitan komunikasi dialek tempatan. Tugasan baru ini harus dibuat berkumpulan. Senarai nama kumpulan sedang diedarkan.

Hati Ariana terasa tidak sedap, risau kalau-kalau sekumpulan dengan Pak Lebai kelasnya. Dalam kelas itu, dia hanya rapat dengan Lili. Harap-harap sama kumpulan nanti.
”Riana, kita satu ’group’” Laung Lili, dia duduk di kerusi hadapan.Riana mengangkat ibu jari tangan tanda setuju. Kertas sampai di tangannya.

Alamak! Mati aku! Sama kumpulan dengan Pak Lebai. Jadi ketua aku lagi.Aduhai, bertuah badan! Tahan tadah telinga nanti gamaknya.Riana mengutuk dalam hati. Ada mendung berarak di wajahnya.

Dia membaca dalam hati, nama ketua, Mohd. Zamil Hakimi Bin Ismail, nama Lili ada, namanya ada, nama Rizal pun ada, dan dua nama lain yang dia tak berminat untuk tahu. 3 perempuan, 2 lelaki. Pandai pulak Cik Laila mengatur aku dan Pak Lebai ni satu kumpulan.

” Ada yang tak puas hati dengan pembahagian kumpulan? Saya harap kamu semua boleh berkerjasama dengan baik. Sebulan lagi hantar tugasan kamu.” Cik Laila menoktahkan kelas hari itu.
”Cik Laila! ” Riana bersuara.
”Ya! Kenapa Ariana?”
” Boleh bagi kebenaran tukar kumpulan?” Ariana tidak tahu dari mana keberaniannya muncul untuk berkata begitu.
” Bagi saya alasan yang rasional.”
” Ermmm....saya,...saya tak sesuai dengan ahli kumpulan saya.”
” Mana kamu tahu tak sesuai, belum buat kerja lagi.Baik, saya tak benarkan sebarang pertukaran ahli kumpulan. Sekian, kelas bersurai. Dan, dengan anggunnya, Cik Laila melangkah keluar.

Ariana duduk semula. Pelajar lain sudah bergerak mencari kumpulan masing-masing. Ariana terpaksa akur. Mujur Lili ada bersama.
” Saya harap semua ada, Rizal, Lili, Ariana, Maisara dan Rita.” Begitu tegas Pak Lebai memanggil nama anak buahnya.Semua menjawab ada bila nama dipanggil kecuali Ariana. Dia mengangkat tangan tanpa mengangkat wajahnya yang muram.

”Ariana, awak sakit tekak ker?” Tanya Zamil Hakimi.Semua mata memandang Ariana.
”Kenapa? Saya tak sakit lah”
” Oh! Ada suara, ingat kan diam tadi sakit tekak.” Sindir Zamil Hakimi lagi.
”Baiklah, dua hari lagi, kita akan ke Kampung Sungai Dua, dan Kampung Gelugor, untuk membuat temubual.Saya nak tekankan ’dress code’ kita sebagai pelajar.Lelaki berbaju kemeja atau baju Melayu, dan perempuan berbaju kurung sahaja. Saya harap semua faham. Kita jumpa nanti.” Zamil memberi arahan tegas . Ariana tahu, ini baru permulaan perang antara mereka.Semua pelajar sudah keluar dari perut bangunan itu.

@@@@@@@@@@@@@@@@

Hari Khamis, kuliah berakhir jam 11. Ariana balik ke biliknya untuk berehat. Perutnya memulas, dia tahu, waktu ’datang bulan’ sudah sampai. Senggugutnya pulak semakin menjadi.
” Kau nak aku temankan?” Tanya Haryani yang sedang bersiap untuk ke kelas.
Temannya itu mengikuti kursus Sains Komputer.
” Tak apa, pukul 3 dah ni, kau pergi lah. Aku larat lagi. Hari Khamis biasa tak ramai orang, klinik dalam kolej jer. Doktor pakar masuk klinik hari Khamis.
” Hati-hati tau! ” Tambah Yani.

Ariana menunggu di hadapan Bilik 3. Klinik agak lengang, mungkin nasibnya baik, tak lama dia menunggu giliran.Perutnya kembali sakit. Sambil menahan sakit, dia cuba mengalih perhatian membaca mesej dalam telefon tangan.

Wajahnya terkesan sesuatu.Itu kan Pak Lebai ! Apa dia buat jumpa doktor pakar .Riana nampak Zamil masuk selepas nama lelaki itu dipanggil.Sakit apa dia agaknya sampai kena jumpa pakar! Lantak lah. Aku tengah sakit ni.

Hampir lima belas minit berlalu. Ariana keluar dari bilik doktor.Dia pergi ke kauter mengambil ubat. Dia duduk sambil membaca majalah yang tersedia.
”Ariana , nama awak kena panggil.” Satu suara menegurnya.Dia tidak sedar namanya dipanggil.
”terima kasih.” Ucap Riana.
Ubat bertukar tangan.
”Eh! Awak kat sini lagi?” Tanya Ariana.
”Saya tunggu awak.” Jawab Zamil .
” Saya tak suruh pun.” Kata Riana sambil menahan sakit perutnya tiba-tiba.
”Muka awak pucat Riana, awak sakit aper? Mana Yani ? Mana Lili? Mereka tak teman awak ? Kalau pengsan nanti, bahaya.”
Pak Lebai buat kuliah kat sini pulak, aku tengah ’tension’ ni. Banyak hal lah mamat ni.
” Saya masih kuat Pak Lebai ! Opss...Zamil.” Ariana termalu sendiri.Tak semena-mena tangan comelnya menutup bibir mungilnya. Alamak! Kantoi aku.
”Awak panggil saya Pak Lebai rupanya! Pandai awak. Tapi, saya ni nampak tua sangat ker Riana? Panggil Abang Lebai kan nampak muda. Kita kan seusia, baru 22 tahun. Saya tak marah.Duduk lah dulu. Awak nampak penat.” Zamil cuba memancing perasaan gadis itu.

Aduhai ! Kalau lelaki tu lelaki jugak! Mereka duduk di kawasan rehat yang lapang.Beberapa pelajar juga ada di situ.Berehat sambil menunggu giliran ambil ubat.
” Saya bukannya apa, saya harap sangat sebagai kawan dan sebagai saudara seagama, saya harap awak pakai tudung suatu hari nanti. Tinggalkanlah seluar lusuh awak dan baju ketat awak tu. Pakai baju kurung lagi manis , lagi ayu.” Dia memulakan bicara. Berdesing telinga Riana.Namun dia berdiam diri.Gara-gara sakit perut, dia tadah telinga.

”Saya suka tengok Riana pakai baju kurung ’last week’ masa kita buat ’research’ tugasan tu.Saya ikhlas. Kalau Riana pakai tudung, lagi nampak macam Gadis Muslimah.”
” Zamil. Awak jumpa doktor pakar tadi sakit aper?” Tanya Ariana mengalihkan topik bicara. Dia tidak tahu, hatinya terasa membengkak, tetapi bila memandang wajah lelaki itu, hilang amarahnya ditelan pawana.Pakai ilmu ke mamat ni! Nampak ’handsome’ pulak hari ni.

”Saya .Tak adalah. Mil buat pemeriksaan rutin sahaja.Tak ada aper!! Riana sakit aper? Pucat semacam jer. Kalau sudi, mari saya hantar balik, kejap lagi Rizal datang ambil saya dengan kereta.Boleh tumpang kita orang.” Zamil berbahasa lagi.

” Tak payah. Saya tak suka, nanti kena tangkap basah dengan Pak Lebai.” Riana membidas. Zamil ketawa panjang. Tak putus, sambil menekan perut. Lucu ker!
Riana marah diketawakan. Dia tarik muka masam.
”Nak balik dulu.” Riana bergegas bangun.Dia terlupa membawa plastik ubat-ubatanya.
Emmm...tengah marah pun manis sekali. Cantiknya Ariana! Bisik hati Zamil.

Zamil jugak berlalu.Dia membawa plastik ubat gadis itu bersama.
Ariana sampai di bilik. Dia terus tidur selepas tersedar platik ubatnya ketinggalan di klinik. Pak Lebai punya hal lah ni.Hatinya sebu sendiri. Sakitnya perut aku ni!
Jam bergayut di angka 6 semasa Haryani masuk ke bilik yang gelap itu.Dia memetik suis lampu.
”Riana! ” Panggil Haryani.

Riana bergerak-gerak perlahan.Sedar Haryani sudah balik.
”Kau macam mana? Sakit lagi?”
” Sakit lah, ubat tahan sakit aku tertinggal kat klinik, ni semua pasal Pak Lebai tu.Dia bagi tazkirah kat aku, bagi kuliah Asar sekali, sampai ubat aku tertinggal.”
” Ni, Pak Lebai kirim ubat. Dia cari kau kat bawah.Kau tidur kot, tak dengar ada pelajar datang ketuk pintu.Mujur jumpa aku.Dia bagi minyak lagi.Katanya minyak ni baik untuk senggugut, adik dia selalu guna. ” Terang Haryani sambil tersenyum penuh makna. Kemudian pecah tawanya.
”Kau beritahu dia ker tadi kau ’datang bulan’ buat malu kaum Hawa jer.”
”Bedebuk” Teddy bear Ariana melayang ke muka Haryani.
” Tolong sikit!! Pak Lebai ni biar betul.Mana dia tahu aku sakit wanita . Dia siasat ubat aku lah tu.Minyak aper ni? Minyak pengasih ker?” Ariana berasa geram dan malu bila memikirkan Zamil tahu dia sedang dalam haid.Mampus aku!

” Dia ambil berat lah Riana. Minyak tu, adik dia selalu guna. Minyak tu bukan untuk wanita jer, lelaki pun boleh, minyak serbaguna. Kau pakai jer, mungkin kurang sakit perut tu.” Tambah Haryani tanpa rasa curiga. Dia nampak bagaimana Zamil risau akan Ariana. Jatuh cinta kah Pak Lebai dekat ’room mate’ aku ni.
Ariana bangun. Telan ubat, dan ambil minyak panas botol merah itu.Dia menyapu pada perutnya. Rasa lega. Mungkin gabungan ubat tahan sakit dan minyak Pak Lebai.Dia tersenyum sendiri.
”Hoi...senyum ada makna ker tu?” Haryani sempat menggiat.
”Orang punya suka ah..” Ariana buat tidak tahu.
Malam mengorak langkahnya.

@@@@@@@@@@

Kuliah pagi sudah selesai. Tutorial sedang berlangsung. Cik Laila seperti biasa tekun mendengar pembentangan pelajar. Minda Riana tidak di situ. Kerusi yang selalu dihuni oleh Rizal dan Zamil kosong. Mana Pak Lebai ni? Hatinya terusik.
Habis pembentangan, Riana tidak terima satu apa pun pelajaran yang masuk. Mindanya kosong. Dia menjadi rindu. Rindu mendengar suara Pak Lebai.Rindu menatap wajah lelaki itu.
”Riana, ’birthday’ kau malam esok kan? Kau buat kat Restoran Sungai Dua kan?” Teguran Lili mengejutkan lamunannya.
”Jadi. Malam esok datang tau.”
”Lili, emm, kau ada simpan nombor Pak Lebai, eh...maksud aku Zamil.”
”Ader, kau nak ker? Nak ajak dia sekali?” Soal Lili tanpa rasa curiga. Lili malah, bertambah gembira jika perang dingin gadis itu selesai.
”Ni, ”
”Thanks ”
Ariana keluar dari kelas.Dia duduk di hadapan perpustakaan kolej yang menyediakan banyak meja belajar dan kerusi panjang untuk pelajar membaca santai.
”Hello ! ”
”Assalamualaikum” Suara sebelah sana menjawab.
”Waalaikumussalam. Ini Ariana. ”
” Riana, apa khabar? Sihat ker ?”
” Sihat. ” Ariana teringat Zamil tahu waktu dia haid, dia malu sendiri.
”Mil kat mana? Kenapa suara lain? Demam? Tutorial Cik Laila tadi tak datang pun” Tanya Ariana lagi.
” Riana, Mil kat rumah, pening sikit. Tak sedap badan. Mil nak cepat ni, mama panggil, ada hal apa ya?” Soal Zamil lagi.
” Malam esok ada masa tak, datang ’birthday’ Riana, kat Restoran Sungai Dua.”
”Tengok dulu ya, kalau ada masa Mil datang, Happy birthday Riana!”
”Esok lah Mil.” Ariana berdebar-debar, lain macam perbualan hari itu.
”Takut tak sempat.” Zamil menarik nafas panjang.
” Tak sempat aper?”
” InsyaAllah Mil datang. Assalamualaikum Ariana!” Talian diputuskan.
Ariana rasa semacam. Ada sesuatu yang Zamil Hakimi sedang sembunyikan. Dia tidak tahu, malah dia tidak syak apa-apa.
Rizal memandang wajah pucat Zamil.
“Kau tak bagi tau dia Mil? Kesian dia.” Rizal bersuara selepas melepaskan keluhan kecil.
” Aku tak nak dia sedih lah. Esok ulang tahun dia. Dia jemput aku. Kau pergi ya, bawa hadiah aku. Hadiah tu ada kat bilik. Dah lama aku beli. Aku simpan nak bagi dia pada masa yang sesuai tapi tak tau bila. Esok lah masanya. Ulang tahun ke-22 Ariana.
”Tapi Mil, aku rasa kita patut bagi tau dia, kau sakit Mil . Biar dia datang jumpa kau.” Rizal memujuk lagi.

” Aku tak dapat beri dia kebahagiaan Rizal. Aku sakit kan. Aku cinta kan Ariana tapi aku harus lepaskan dia. Dia berhak mendapat lelaki yang sempurna bukan macam aku sedang bertarung nyawa melawan sel kanser ini. Barah ini keturunan. Datuk aku dulu mati sebab kanser juga, kau pun tahu kan.

Rizal hanya menurut kemahuan sahabatnya.
Ariana berdandan rapi. Dia memakai baju kurung sutera yang baru dibeli. Dia kelihatan cantik dan ayu. Rambut panjangnya dilepas bebas.
Dia ingin menghadiahkan penampilan itu kepada Zamil.Dia tekad, dia akan minta maaf dari jejaka itu. Dia tahu mereka sedang mengumpul rasa yang sama. Mereka tengah menyimpan rindu yang sama. Cuma zahir tak terucap.

Segala-galanya berjalan lancar. Kedatangan Rizal mengejutkan semua yang hadir.
”Mana Zamil?” Tanya Ariana.
”Mil tak dapat datang. Dia kirim hadiah ni buat Riana.” Kata Rizal.
”Kenapa? Mana dia?” Ariana terketar-ketar menerima bungkusan berbalut merah jambu dan ada gambar hati bercantum.
”Dia sakit Riana. Zamil ada di Hospital Besar.”
”Sakit ? Patutlah hari tu, dia jumpa doktor pakar.” Ariana teringat kisah lalu masa pertemuan di klinik.
”I balik dulu.”
”Terima kasih. Esok kami datang jenguk dia.”
”Buka lah Riana.Tengok hadiah apa.” Yani menggesa. Lili dan rakan lain juga tidak sabar.
”Jap.”
”Wau...sehela tudung putih.” Yani berbisik keras.Boleh didengar semua.
Hati Ariana sayu tiba-tiba. Tudung itu seperti berbicara kepadanya.
Hatinya diterpa rasa insaf, syahdu, dan kudus.
”Jangan nangis Riana” Kata Yani memujuk.
Air mata itu bukan kemarahan tapi keinsafan dari lelaki bergelar Pak Lebai.

@@@@@@@@

Esok bertandang duduk. Mereka tiba di wad yang menempatkan Zamil Hakimi.
”Assalamualaikum Mil ! ” Ariana bersuara.
”Waalaikumussalam Riana! ” Ada senyuman manis dihadiahkannya.
” Muslimah sejati , gadis yang baik untuk lelaki yang baik Riana.” Zamil berbahasa. Sejuk hatinya memandang gadis itu yang berbaju kurungdan bertudung.Air mata Ariana mengalir dari tubir mata. Membasahi pipi.Zamil Hakimi tersenyum. Ariana sudah mendapat hidayah untuk memakai tudung. Sekuran-kurangnya wajah gadis bertudung putih itu sempat dia tatap sebelum dijemput Ilahi.

”Maafkan Riana atas segala kekasaran Riana selama ni.”
” Mil dah maafkan .Dah lama.”
”Kenapa tak bagi tau awal-awal?” Tanya Ariana .Rakan-rakan lain turut sebak memerhatikan situasi sedih itu. Ibu bapa Zamil juga berada di situ.
” Riana cantik pakai baju kurung dan bertudung macam ni. Kalau Mil tak ada, teruskan hijrah ini ya! Riana akan dapat ketenangan nanti.Mil suka Riana macam ni.”
Riana menangis lagi. Yani memeluk sahabatnya.Lili juga menangis. Rizal turut merasa sebak.
Beberapa minit kemudian, doktor datang selepas sesuatu berlaku pada Zamil.Muka pucat itu tidak bergerak-gerak lagi. Mereka semua meraup muka selepas menadah tangan. Ariana sedar apa yang terjadi. Perpisahan dengan Zamil secara total . Perpisahan mutlak.

Tak ada lagi Pak Lebai. Tak ada lagi Zamil Hakimi. Tak ada tazkirah, tak ada kuliah Subuh atau kuliah Asar. Ariana menangis lagi. Esakannya tumpah di situ.Azamnya menjadi tekad. Hijrahnya tidak akan berpaling.



Kencana Merana , 11.00 malam. 1 hb Februari.

No comments: