Tuesday, August 18, 2009

SAMBUNGAN CERPEN GADIS BERTUDUNG PUTIH

ARWAH ZAMIL HAKIMI sudah dua tahun pergi. Namun, hati Sofea Ariana masih terkunci buat kehadiran lelaki lain. Dia sendiri tidak tahu kenapa memori itu merantai tasik hatinya. Padahal, semua benda yang berkait dengan Pak Lebai itu dia telah buang jauh-jauh. Cuma satu. Cuma satu menurut teman rapatnya Haryani, dia tidak membuang nama itu jauh-jauh dari hatinya.

Dia perlu menguburkan cinta tanpa nisan itu selama-lamanya. Kerana, yang sudah mati tidak akan hidup semula. Benar kata Haryani, Ariana akuinya, tetapi hati yang satu itu cuma satu, tetap satu, dan hanya ada satu, itu pun telah dibawa pergi oleh Pak Lebai.

Sofea Ariana sedang sibuk mencari beberapa buah buku rujukan untuk tugasan barunya . Perpustakaan besar Universiti Sains Malaysia itu sudah mula dibanjiri ramai penuntut. Dia dan Haryani kini sedang menyambung pengajian di peringkat Sarjana Muda selepas lulus peringkat Diploma dari sebuah kolej yang diiktiraf .

Beberapa buah buku diletakkan di atas meja. Ariana duduk dan membuka beg kuliah lalu mengeluarkan beberapa barangan keperluan. Dia tekun membaca dan menulis maklumat yang diperlukan. Selepas sejam, dia bangun dan bergerak ke bahagian tepi dinding untuk meletakkan buku yang tidak dipakai.

Seketika, dia menoleh ke arah luar, ke arah ’foyer’ perpustakaan menjamu mata menyaksikan orang lalu-lalang yang tidak pernah putus. Tiba-tiba deria penglihatannya menangkap sesuatu. Sesuatu yang dia sendiri tidak percaya. Tak mungkin ! Astaghfirullah...Suara hatinya berdetik sendiri.Hatinya tidak membenarkan apa yang terlihat oleh mata. Dia melihat batang tubuh Zamil Hakimi sedang bergaduh dengan seorang mahasiswi.
Tanpa sedar, kakinya membawa dia keluar. Namun, hampa, bayangan yang dilihat tadi sudah tidak kelihatan.Ariana tersedar . Apa yang berlaku pada aku ni, Ya Allah, berilah aku kekuatan. Dia bergumam sendiri. Kemudian , menaiki bas kampus untuk balik ke Desasiswa Fajar Damai. Persoalan itu tidak terjawab.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

” Riana, bangun lah, jom kita keluar makan awal sikit. Aku lapar lah.” Haryani menggerakkan tubuh Ariana yang mengiring di atas katil.
” Emm...pukul berapa ni ?”
” 5.30 dah. Kau dah solat kan?”
”Dah. Aku ke tandas dulu lah.”
”Dah siap?” Tanya Riana yang baru datang dari tandas di hujung bangunan.
” Dah. Kita makan kat Desasiswa Kembara ya. Aku nak makan nasi ayam.” Kata Haryani lagi.
”Okay. Aku ada hal nak bagi tau kau Yani.”
” Kat sana lah kau cerita ”
Mereka duduk di meja yang lengkap dengan empat buah kerusi berwarna . Mengambil tempat berhadapan pemandangan bukit menjadikan petang mereka sangat tenang.
”Nak citer apa Riana?”
” Aku cakap kau jangan sindir aku pulak.” Ucap Riana sambil menceduk kuah sup ke dalam pinggan nasi .
” Cakap lah , aku dengar dulu.” Kata Haryani yang kelihatan laju menyuap nasi.
”Aku tak tahu lah Yani. Aku nampak Zamil. Aku nampak dia. Aku nampak Pak Lebai.” Ujar Riana perlahan tetapi mengandungi keperitan.
”Kau what? Kau nampak Pak Lebai yang dah meninggal dua tahun lepas? Kau ni angau ker apa? Dia dah pergi. Dah tak ada. Titik. Kau tu, jangan ingat sangat . Tak baik tau. Orang tu dah tak ada. Lepas kan dia pergi Riana. Nanti kau yang seksa.” Kata Haryani panjang.
”Aku tahu. Tapi aku rasa aku nampak dia. Aku rasa macam aku nak jumpa dia.”
” Haa...mula-mula kau nampak, terus kau nak jumpa, lepas ni apa? Kau nak jatuh cinta kat bayang-bayang Pak Lebai? Gitu? Orang mati mana ada hidup semula Riana. Kau ingat kita ni, dalam cerita ker??” Haryani bersuara tegas. Dia tidak mahu kawannya hanyut dalam kenangan .
” Baik lah. Aku janji. Aku tak kan ingat dia lagi.” Ariana mengalah dalam keterpaksaan. Dia tahu ini jalan terbaik.
”Hmm..maaflah tadi aku tegas sikit. Ada kawan aku kan Riana, dia ada kawan sorang . Lelaki. Mamat ni kan ambil kursus Sains Komputer . Kita jumpa diorang nak?. Dia selalu bagitau aku , suruh ajak kau keluar sama. Nak kenalkan mamat Sains Komputer ni dengan kau. Kau nak tak?”
” Kau nak cakap apa sebenarnya Yani?”
” Aku nak kau keluar dengan mamat tu lah. Aku nak kau lupa kan Zamil. Aku nak kau buka buku baru. Ramai lelaki kat luar sana suka kan kau . Tapi kau terikat dengan orang yang dah tak ada.” Perlahan Haryani memujuk. Takut hati gadis itu terasa.
” Kalau hati aku tak rela, tak guna Yani. Seribu lelaki pun, tak ada makna selagi hati aku ni belum pasti.”
” Dah tu, hati kau tu kan ada kat kau Riana. Kau buka lah hati kau tu, kat orang lain pulak. Ada lagi lelaki baik dalam dunia ni, walaupun tak macam Pak Lebai .” Pujuk Yani terus-menerus.

Selesai makan, mereka berjalan kaki pulang ke bilik. Semasa hendak melintas jalan, tiba-tiba sebuah motosikal datang dengan laju. Haryani sudah lepas ke seberang jalan. Ariana masih tertinggal di belakang. Dan, ketika itu, tanpa sempat Yani menarik tangan Ariana, motosikal itu hanya melanggarnya dengan jarak dekat kerana penunggangnya sempat menekan brek kecemasan.

Ariana sempat mengelak sedikit sahaja . Dia rebah di atas jalan. Namun, otaknya masih mampu menafsirkan apa yang berlaku. Lutut dan sikunya berdarah. Mujur dia memakai baju lengan panjang dan seluar slack longgar menutup luka tersebut. Motosikal itu berhenti. Beberapa orang pelajar lain juga berkerumun ke situ.

”Bangun Riana, kau macam mana?” Yani mula risau.
Darah merah membasahi bahagian lutut, bahagian siku, dan tangan gadis itu. Ariana bangun dipapah oleh Haryani dan seorang pelajar perempuan. Mereka berhadapan dengan penunggang motosikal yang memakai topi keledar ‘full face’ hitam.

Topi keledarnya tidak dibuka. Haryani dan Ariana tidak nampak wajah lelaki tersebut. Pelajar itu melihat Ariana yang menahan kesakitan. Hati lelakinya tiba-tiba meruntun. Dia seakan-akan kenal gadis itu . Namun, dia tidak tahu siapa gadis itu . Ariana cuba bangun dibantu oleh Haryani dan dua orang pelajar yang ada di situ. Tiba-tiba badannya terasa ringan , dia tidak sedarkan diri . Haryani mengucap panjang. Lelaki yang menunggang motosikal itu berlalu tanpa rasa bersalah.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Doktor Klinik USM memberikan cuti sakit untuk Sofea Ariana. Haryani juga terpaksa cuti menemani sahabat baiknya itu. Selepas sedarkan diri semalam, gadis itu tidak banyak berbicara . Mungkin sehari dua lagi, gadis itu boleh ke kelas seperti biasa.
” Kau dah bangun? Aku bawa nasi ni.” Yani mula mengatur bicara.
”Siapa dia Yani? Siapa yang langgar aku dulu ?”
” Jangan fikir sangat lah. Dia tu, mamat motor yang membahayakan keselamatan orang lain tau. Aku dengar-dengar , ada pelajar buat ’report’ . Dia kena panggil dengan Unit Hal Ehwal Pelajar. ” Kata Yani merujuk kepada dia yang mereka sedang perkatakan.
” Makan dulu Riana. Kau sakit nanti susah aku beb! Dah masuk dua hari aku ponteng kuliah ni.”
” Thanks Yani. Kalau kau tak der , aku tak tahu lah.”
” No hal lah beb! Aku kawan kau sampai bila-bila.Susah dan senang .Orait. Tapi, makan dulu tau.” Yani berceloteh.
Ariana mampu tersenyum dan mula menjamah makanan. Hari beransur malam.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Sudah seminggu kejadian itu berlalu. Ariana tidak mahu fikirannya dibejat lagi. Dia tidak pernah jumpa dengan lelaki yang pernah melanggarnya dahulu. Dia juga tidak jumpa lagi dengan bayangan wajah Zamil Hakimi. Mungkin benar telahan Yani, itu sekadar ilusi mindanya sahaja.

Ariana beratur membeli makanan di kafeteria hadapan ’foyer’ dewan kuliah. Hajatnya nak mengisi perut sedikit. Lepas kuliah tadi, dia rasa lapar pula. Haryani keluar ke KOMTAR dengan Erin untuk membeli-belah . Ariana tidak mahu ikut, lagi pun, dia bercadang untuk terus ke perpustakaan selepas ini.
Ariana membawa secawan kopi dan sebungkus ’sandwich’ sardin. Dia duduk di meja paling belakang. Meja yang kosong dan agak tersorok . Ramai yang mula membanjiri kafe itu untuk makan.
” Boleh saya duduk?” Satu suara menggamit lamunannya.
” Awak?” Ariana terkejut . Berdiri di hadapannya kini, seperti orang mati hidup semula. Wajah itu yang dia nampak di luar perpustakaan dulu. Jadi, itu bukan ilusi mindanya. Pelajar itu nampak agak serabut . Rambutnya agak panjang mencecah bahu. Kulit mukanya cerah dan bersih. Penampilannya yang tidak kemas membuatkan dia nampak tidak terurus. Tambahan lagi, dia memakai baju T lusuh, dengan seluar ’jean’ yang lebih lusuh warnanya . Mungkin dia berpakaian mengikut ’trend’ masa kini.
” Kenapa pandang saya macam tu. Saya tahu saya salah. Saya datang nak minta maaf .” Ujar pelajar yang sudah pun duduk berhadapan dengannya.
“ Saya tak faham. Minta maaf apa??” Ariana mengawal perasaan yang berkecamuk. Sekian lama, dia cuba melupakan wajah itu, tapi kini, wajah itu hadir semula walau dalam jasad orang lain.
“ Saya langgar awak dengan motosikal dahulu.” Lelaki itu tenang bercerita.
”Jadi, awaklah lelaki tu?? ” Ariana berkira-kira sendiri. Kejadian itu, dah berlalu. Dia pun sudah sembuh. Malas hendak panjangkan cerita. Bagaimana aku hendak buang bayangan Zamil, kalau wajah ini hadir di hadapan mata ku Ya Allah.
” Saya terpaksa pergi. ” Kata Riana tiba-tiba, selepas beberapa detik menyepi.
” Awak dah maafkan saya??.”
“ Baiklah. Lagi pun, saya dah tak apa-apa.” Ariana menjawab lembut. Dia menghela nafas pendek.
” Kenapa awak seperti terkejut tengok saya tadi? Kita pernah jumpa sebelum ni?” Tanya pelajar itu semula. Lelaki itu juga terasa sesuatu. Terasa kelainan berhadapan dengan gadis ini. Dia tidak tahu, tetapi dia membuang perasaan aneh itu jauh-jauh. Dia pernah terluka dengan seorang gadis. Dia tidak mahu terluka lagi.
” Tak ada apa-apa. Saya yakin kita tak pernah kenal. ” Ariana menuturkan kata-kata dengan tenang. Ariana menolak kerusi untuk bangun. Belum sempat dia melangkah jauh.
” Hei perempuan!! ....banyak-banyak lelaki dalam kampus ni, Affendi jugak kau nak pikat ya!!” Suara tajam gadis yang baru sampai itu mengejutkan Yana.
” Maaf kan saya, awak silap orang. Saya tak kenal pun lelaki ni.” Ariana menjawab perlahan.
” Tak kenal kau kata. Ni, makan sekali ni apa? Patutlah tadi kata nak ke kelas. Kelas kat sini pulak.” Gadis yang bernama Alia itu mencerlung marah. Memandang ke wajah Luqman Affendi dengan tajam.
“Alia, jaga mulut tu sikit. Aku dengan dia tak ada apa-apa.Jangan buat hal kat sini. Mari balik.” Fendi menarik lengan gadis itu dengan kasar.
Gadis bernama Alia tertolak ke depan. Cengkamannya kuat, Alia meronta-ronta minta dilepaskan. Akhirnya terlepas. Alia berlari laju ke meja Ariana. Dia mengambil segelas air di atas meja lalu menyimbah ke muka Ariana. Basah tudung kepala gadis itu. Fendi sampai ketika Ariana meraup wajahnya dan tudungnya yang basah.
” Jangan muncul depan saya. Saya tak nak menjadi sebahagian dari kisah hidup kamu berdua . ” Ariana bersuara tiba-tiba.
Luqman Affendi menatap wajah itu seketika, perasaan aneh itu bertandang kembali. Kemudian dia menapak pergi bersama Alia.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

” Hai!! ”
” Kau ni kan.... Terkejut aku.”
Haryani duduk di sebelah Ariana. Memandang lepas ke arah Tasik Aman yang tenang. Cuma dibanjiri pelajar yang sedang ’berjogging’ dan berjalan kaki mengelilingi tasik.
” Dah pandai termenung ker?” Tanya Yani.
” Malam ni ikut aku ya. Keluar makan kat Gelugor . Ada orang nak belanja kita. ”
”Siapa?”
” Mamat yang aku cerita kan dulu tu.”
” Mamat mana ni? Tak der nama ker?” Ujar Yana sambil membetulkan lipatan tudung yang ditiup angin. Sejak kehadiran Zamil yang merubah penampilan dirinya dari seorang gadis yang bebas berpakaian, dia kini menjadi seperti Yani. Gadis manis bertudung litup yang menawan. Penuh kesopanan dan menutup aurat.

” Nama dia Zikri. Budak Sains Komputer .Budak ICT . Senior daripada kita. ”
” Kau ambik jer lah susah-susah.” Ariana menokok pantas.
”Hishh...aku dah ada, dalam proses. ” Yani gelak kecil. Malu-malu.
” Aku dengan Farid sebenarnya. Erin yang kenalkan. Zikri kawan baik Farid. Zikri tu suka kat kau. Dia selalu nampak kau ’study’ kat ’library’ . Dia kata kau rajin, baik, cantik, sopan.” Tambah Yani lagi.
“Adoi…sakit ahh…” Yani mengaduh manja. Cepat saja tangan Riana hinggap di lengannya.
” Berapa dia bayar kau ni. Baik punya ayat kau pekena kat aku ni.”
” Dia tak bayar pun. Dia belanja makan malam ni. Boleh??”
”Aku tanya ni jangan marah ya!” Yani mula berubah serius.
” Sejak bila pandai minta izin ni?” Riana memandang wajah Yani. Menunggu butir bicara gadis manis itu.
” Kau ada gaduh kat kafe depan ’foyer’ dewan kuliah ker ?? Ada member aku nampak.”
” Aku tak kenal pelajar tu. Betul Yani. Dia kata dia yang langgar aku dulu. Dia jumpa aku sebab nak minta maaf. Kau ingat kan mamat tu ?? ”
”Haa...yang pakai topi ’full face’ tu, sampai tak nampak batang hidung.Macam mana nak kenal kan.” Yani bersetuju dengan kawannya itu.
“Aku tak tahu apa-apa, tiba-tiba jer awet dia yang ala-ala seksi tu, dengan rambut karat gitu , datang serang aku. Tak sempat bagi salam, dia jirus aku dengan air.” Riana memberitahu.
“ Tengok, kau dah jadi ancaman buat dia lah tu. Dia jeles lah tu.”
“ Aku tak nak cari gaduh lah Yani. Aku nak jadi orang baik. Dulu aku kaki gaduh kan, aku nak berubah. Aku janji dengan arwah dulu, aku nak jadi Sofea Ariana yang baru.”
“Sorry beb! Aku minta maaf ya!”. Yana memohon simpati.
“ Tapi, ada satu hal yang kau tak tahu tentang pelajar tu.” Ariana cuba berteka-teki.
“ Yang aku tak tahu? Aku patut tahu tak?”
“ Memang patut. Kalau kau nak tahu, dia lah pelajar yang aku ceritakan dulu, yang aku ingatkan Zamil datang kat depan perpustakaan.” Kata Ariana serius tetapi perlahan.
“ Haahhh…dah mula balik dah. Kau ni kan, semua lelaki kau nampak macam Zamil. Kau kena lepaskan dia Riana. Kau lepaskan lah . Roh dia tak tenang kalau kau asyik ingat kat dia.” Haryani pula mula berkuliah. Geram sesekali dengan sikap Ariana.
” Kau ni kan, marah-marah macam ni, lagi cantik lah Yani .” Ariana tiba-tiba mengusik .Biar lah kalau Yani tak nak percaya. Suatu hari, mungkin dia akan percaya.Tapi , siapa pelajar tu sebenarnya??
Haryani ketawa manja.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Malam menjelma. Mereka makan di sebuah restoran yang sederhana besar. Lima orang semuanya. Zikri dan Farid, berserta Ariana, Haryani dan Erin, rakan tutorial Haryani.

” Riana selalu kat perpustakaan ker. Selalu I nampak U kat sana.” Kata Zikri cuba beramah mesra. Dia memandang Yana, gadis itu melarikan anak matanya . Riana nampak sangat cantik. Sopan dan memikat. Bertudung litup, tapi nampak kemas dan moden.
Lelaki itu pula pada Riana, peramah. Tidak kekok, dan mudah mesra.

” Kalau ada tugasan, melekat lah kat situ.” Ariana bergurau . Cuba menimbulkan suasana ceria.
“ Makan lah.Banyak makanan ni.” Kata Zikri lagi. Lelaki itu berbadan tegap. Agak berisi sedikit tetapi tidak nampak gemuk, kerana dia tinggi. Kulitnya sawo matang seperti kebanyakan kulit lelaki Melayu.
”Makan banyak-banyak. Jangan malu.” Farid pula berbasa-basi. Farid dan Haryani dalam proses mengenali hati budi. Keadaan sunyi sejenak semasa mereka menikmati makanan.
Suasana tiba-tiba kecoh di luar restoran. Seorang lelaki dikerumuni tiga orang lelaki lain. Mereka bergelut tanpa mempedulikan orang awam.
”Eh...tengok Yani. Itu lah pelajar yang langgar aku dulu. Dia kena pukul lah.” Ariana bersuara cemas.
“ Betul ker Riana.Kau pasti. “
“U kenal lelaki tu?” Zikri pula bersuara. Ada nada cemburu dalam pertanyaan itu. Dia sebenarnya kenal lelaki yang mereka sedang perhatikan itu. Lelaki yang terkenal kat Unit Hal Ehwal Pelajar gara-gara masalah disiplin dengan pihak universiti. Ariana hanya angguk. Memohon simpati.
“ Dia kan yang selalu naik-turun kat Unit HEP, banyak masalah dia tu. Dah pernah kena gantung dengan pihak universiti . Memang budak tu, tak sayang masa depan dia.” Kata Farid pula .
” Jap! Jap! Dia nampak macam Pak Lebai . Arwah Zamil Hakimi. Dia lah yang kau nampak kan Riana?” Haryani pula bersuara cemas. Gugup dan gementar sekaligus. Masih menafikan apa yang mata sedang melihat. Tak mungkin !
” Siapa Zamil Hakimi? Siapa Pak Lebai? Dia budak ’course’ apa?” Giliran Zikri pula bertanya. Haryani dan Ariana berpandangan. Tak ada masa nak buat ’flash back’.
” Zikri !! ’Please’ , tolong selamatkan dia. I pohon dari U ” Tambah Ariana lagi.
Zikri dan Farid saling berpandangan. Yani dan Erin juga terkedu. Ariana menarik nafas panjang. Perlahan-lahan menghela nafas itu.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Zikri dan Riana sudah mula berkawan baik sejak pertemuan pertama di Gelugor dulu. Namun, Riana tidak pernah memberi apa-apa harapan pada lelaki itu. Dia pernah berbicara , dia senang berkawan dengan lelaki itu . Zikri pula, tidak mahu terburu-buru. Baginya Ariana pasti akan terima dia kelak.

Yang dia risau ialah kemunculan Luqman Affendi dalam hidup Ariana dan masih tertanya-tanya tentang Zamil Hakimi dan Pak Lebai. Bila bertanya kepada Ariana, gadis itu enggan mengulas lanjut. Banyak rahsia Ariana dia tidak tahu. Gadis itu seolah-olah ada kisah silam yang dia tidak mahu berkongsi dengan orang lain.

Ariana naik ke bilik. Dia baru habis tutorial . Dia membuka pintu yang tidak berkunci .Yakin Haryani ada di bilik. Dia memberi salam. Tapi, anak telinganya sempat mendengar suara perempuan menangis.
” Awak??”
” Maafkan saya. Saya Alia. Awak saja boleh tolong saya sekarang.” Alia berhenti menangis. Dia memeluk Riana erat. Haryani yang duduk di kerusi melihat sahaja tanpa bersuara.
” Kenapa? Saya boleh tolong apa?” Ariana tidak faham situasi sebenar. Dia masih ingat ini lah gadis yang menjirus air ke mukanya dahulu kerana salah faham.
“ Saya mengandung anak Luqman Affendi! “
“ Apa??” Riana dan Yani saling berpandangan.
”Siapa Luqman Affendi? ” Haryani dan Ariana serentak bertanya. Bingung dengan kedatangan Alia.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

” Saya nak jumpa awak . Penting sangat. Kita bincang kat bawah ya.” Talian diputuskan.
” Assalamualaikum Riana!” Suara itu mengingatkan dia pada Pak Lebai. Suara itu saling tak tumpah macam Zamil Hakimi. Cuma, gaya saja berbeza. Lelaki di hadapannya kini memakai baju T lengan pendek, warna gelap, dengan seluar ‘jean’ lusuh. Mukanya kelihatan bersih. Masih kelihatan segak.Hidung mancungnya, dan teduh matanya sangat mirip seperi arwah Zamil. Riana tiba-tiba digamit rindu.

“ Awak tahu kan, kenapa saya nak jumpa ni. Fasal Alia.Saya tak tahu macam mana saya boleh berkait dengan kehidupan awak dan kekasih awak tu. Dia minta tolong dengan saya.”
“ Kalau awak tak ada kaitan, kenapa awak datang?? Kenapa awak nak bela dia??”
“ Sebab saya dan dia sama-sama perempuan. Saya tak nak dia diperlakukan sebegitu. Dan selebihnya saya tidak tahu kenapa saya harus datang menemui lelaki seperti awak yang tidak bertanggungjawab, yang merosakkan masa depan orang lain. Awak dah hancurkan masa depan awak. Dan sekarang awak nak hancurkan masa depan Alia. Begitu? ”
” Awak buat kesimpulan terlalu awal Riana. Awak kan tak kenal saya. Bagaimana awak boleh menuduh saya. Saya tahu Alia mengandung. Saya tahu ini taktik kotor dia untuk perangkap lelaki jahat macam saya . ” Luqman Affendi berbicara laju. Merenung ke dalam mata Ariana. Cantik. Mata itu kini menjadi pujaan hatinya . Perasaan aneh yang dia rasakan dulu menerpa lagi. Siapa gadis ini sebenarnya. Kenapa dia harus berperasaan demikian tiap kali mata mereka bertemu.

Wajah mulus bertudung litup tetapi sungguh menawan . Sedetik, dua detik, tiga detik, dan belum empat saat dia mengira, wajah itu tunduk seketika. Berubah warna muka gadis itu. Luqman Affendi seronok melihat Ariana yang jadi pemalu.

” Awak tahu? Dan awak tak nak bertanggungjawab?” Ariana mengangkat wajah. Memaksa dirinya bertentang mata dengan pelajar itu.
” Awak percaya saya buat? Awak ada bukti? Awak ingat saya jahat sangat kan? Sampai sanggup rosakkan hidup anak dara orang. Saya mengaku, saya jahat. Saya kaki gaduh, saya lumba motor, saya ada masalah disiplin dengan pihak universiti. Saya pernah digantung kuliah . Saya juga dalam perhatian pihak universiti . Tapi, saya orang Islam. Saya tahu yang mana haram dan halal. Saya masih waras Riana. ” Panjang lebar Luqman Affendi memberi jawapan.
“ Jadi? Apa yang berlaku?”
“ Awak Tanya Alia. Dia bekas kekasih saya . Kami dah berpisah secara aman tahun lepas. Kebelakangan ni, dia asyik kejar saya. Dia nak kembali pada saya. Dia akan buat apa saja. “
“ Habis tu… awak terima lah dia. Habis cerita. Kan dia bekas kekasih awak.”
” Awak terima Zikri dalam hidup awak Riana?? Dia dah lama suka kan awak. Kasihan dia . ” Affendi meguji kesabaran Ariana. Apa kehendak lelaki itu , Yana tidak faham.
“ Jadi awak kenal Zikri juga? Kita bincang soal awak dan Alia, Fendi!! Bukan soal saya.Bukan juga soal Zikri ”
“ Awak percaya atau tidak, terpulang. Saya tidak takut . Bawa Alia buat pemeriksaan doktor kalau betul dia mengandung anak saya.” Affendi bangun. Memberi salam dan berlalu pergi. Meninggalkan Ariana dengan kata-kata akhir yang sungguh menyakitkan hati. ’Betulkan hidup awak dulu, baru baiki hidup orang lain Ariana .’

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

“ Sanggup awak tipu kami?” Haryani mula naik marah.
“ Sabar Yani. Dia pasti ada sebab buat macam tu.”
“ Dia tipu kita Riana. Dia malu kan kau depan Luqman Affendi. Dia malukan kita depan Farid dan Zikri.Kita percaya dia bulat-bulat.” Haryani marah lagi.
Alia menangis di satu sudut. Selepas dia diugut untuk dibawa berjumpa doktor dan berjumpa pihak atasan universiti, gadis itu mengakui dia berbohong.

“ Saya dan Luqman Affendi bercinta setahun lepas. Kami berpisah selepas saya tidak tahan dengan sikap Fendi yang selalu cari masalah luar.Bergaduh, samseng, masalah disiplin. Saya curang dengan dia. Saya menduakan dia. Bila dia tahu, dia minta putus. Masa tu, baru saya sedar, hanya dia yang faham jiwa saya. Tapi dah terlambat. Dia terluka dan dia tidak dapat terima saya, walaupun dia dah maafkan saya.” Alia memberitahu cerita sebenar.

“ Lepas saya nampak Riana kat kafe dulu, saya sangka Riana ni, kekasih baru dia. Tapi ternyata saya silap. Dia tak ada pengganti saya pun. Saya cuba nak masuk balik dalam hidup dia. Tapi, dia buat pengakuan yang mengejutkan. Katanya dia jatuh cinta dengan awak Riana. Saya pasti, dia tak pernah bersikap demikian. Dia benar-benar mencintai awak. Walaupun dia dan awak baru kenal.” Alia menarik nafas. Menyapu air mata yang tersisa.
” Apa??” Riana terkejut. Yani juga sama-sama terkejut.
” Jadi, awak reka cerita kata awak mengandung? Kerana nak dapatkan Luqman Affendi.” Ariana membuat kesimpulan.
“ Saya fikir helah ni menjadi sebab Fendi pelajar bermasalah disiplin dan ada rekod buruk , jadi orang senang percaya. Tapi, saya silap. Sejahat-jahat dia, masih ada kebaikan dalam dirinya.
Ariana dan Haryani pula menarik nafas. Ariana sedar dia silap buat percaturan. Menghukum Luqman Affendi tanpa bukti. Dia harus memohon kemaafan lelaki itu.
” Maafkan saya, susahkan semua orang , saya tahu, Luqman Affendi bukan tercipta untuk saya.” Serentak dia merenung ke wajah Ariana. Berhenti di situ. Ariana diam tak berkesudahan.

@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@@

Pagi itu, Ariana dan Haryani ke kuliah seperti biasa.Segala-gala sudah terang dan bersuluh. Alia juga kembali sedar bahawa cinta tidak boleh dipaksa lagi. Bagi Zikri, sama seperti Alia. Mungkin Riana bukan tercipta untuknya. Zikri akan belajar menerima Riana sebagai kawan baiknya sahaja. Sejauh persoalan Zamil dan Pak Lebai, Zikri tidak mahu ambil tahu. Biar lah, suatu hari cerita itu datang dari mulut Ariana.

Hidup Ariana pula, kembali kosong. Selepas sekian lama, hatinya berkocak rindu. Dia mula menepis perasaan yang datang. Bukan kerinduan pada orang yang sudah pergi. Tapi, kerinduan pada yang masih hidup. Ariana tidak mahu mengakuinya. Walaupun Haryani selalu mengusik dan membuat serkap jarang. Dia sedar Haryani boleh merasai bahawa perlahan-lahan, dia mula jatuh cinta dengan lelaki yang bergelar Luqman Affendi itu. Dia pasti, dia cintakan lelaki itu, bukan kenangan arwah Zamil.

Lepas kuliah jam 3 , Ariana menjejakkan kaki ke klinik USM. Dia menjalani pemeriksaan rutin seperti biasa . Haryani juga ada bersama. Gadis itu setia menemani sahabatnya.
” Kau nampak tak ? ” Tanya Riana.
Haryani memandang ke arah yang sama. Pandangannya menangkap sesuatu. Kali ini, dia nampak seseorang yang dia cukup kenal. Sekian lama dia tak jumpa lelaki itu. Rizal ? Sahabat baik Pak Lebai. Apa dia buat kat sini? Dia kenal Luqman Affendi?

Haryani dan Ariana keliru. Kedatangan Rizal tanpa mereka ketahui dan bagaimana Rizal boleh mengenali Luqman Affendi. Adakah Luqman Affendi juga sakit seperti Zamil Hakimi dulu?? Kenapa semua lelaki yang hadir dalam hidup Riana akan berakhir begini. Oh Tuhan. Aku tak mahu kehilangan buat kali kedua. Riana gagahkan kakinya, mengejar Rizal dan Luqman Affendi yang sudah ke tempat mengambil ubat. Haryani juga mengikut. Tidak mahu ketinggalan kisah sebenar .
” Luqman Affendi”. Riana merenung pelajar itu dengan serius . Dia seperti sudah berubah. Tidak memakai seluar jean koyak, dan baju lusuh seperti samseng. Lelaki itu lebih kemas, lebih kacak, lebih sopan seperti mahasiswa sebenar.
” Riana? Sofea Ariana? Dan awak Haryani kan? ” Rizal menegur mereka terlebih dahulu.
” Oh Tuhan!! Jadi kau ni betul Rizal kan. Kawan Zamil Hakimi?” Ariana bersuara.
“Kau buat apa kat sini Rizal? “
“ Aku datang nak jumpa Fendi. Kami memang dah kenal . Aku pernah datang sebelum ni, kita jer tak pernah jumpa. ” Beritahu Rizal, menghilangkan persoalan yang sedang melanda.
”Macam mana awak kenal Zamil Hakimi?” Tiba-tiba Luqman Affendi pula bertanya.
“ Jadi kau berdua tak tahu lagi? ” Rizal pula bertanya pada Ariana dan Haryani.
“ Ini kembar Zamil. Luqman Affendi.” Rizal membuat penjelasan.
“ Dan ini, gadis bertudung putih yang kau pernah ceritakan dulu.” Giliran Luqman Affendi pula bersuara. Rizal mengangguk laju. Haryani dan Ariana seperti tidak percaya. Namun, kenyataan sudah terbentang di dada hakikat.

Luqman Affendi berfikir-fikir. Patutlah , dia rasa macam pernah mengenali Ariana. Malah, berperasaan aneh dengan Ariana. Rupanya, gadis itu ialah insan yang istimewa dalam hidup abang kembarnya dahulu.

Mereka bertemu mata. Melepaskan rindu setelah sekian lama.
” Awak kenapa? Awak juga nak tinggalkan saya, ? Senang-senang awak masuk dalam hidup saya, sekarang awak nak pergi. Luqman Affendi,... Awak....saya, saya rasa....saya....” Ariana tidak jadi menghabiskan ayatnya. Air matanya lebih dahulu bergenang di birai mata. Dia menyeka air mata itu. Dia menarik nafas panjang. Kalau benar ini ujian Tuhan, dia akan terima.

” Duduk Riana. Duduk dulu, awak nampak pucat. Awak sakit ker?” Luqman Affendi mengambil berat. Haryani dan Rizal melihat sahaja. Mereka simpati dengan Ariana. Tuhan yang menentukan pertemuan ini. Begitu pendapat Haryani. Tuhan menghantar Affendi untuk menggantikan Zamil. Tuhan Maha Kaya.

” Awak sakit apa? Jangan rahsiakan dari saya kalau awak sakit . ”
” Saya tak sakit. Saya jumpa doktor untuk pemeriksaan rutin. Saya bebas dari jangkitan barah . Tuhan telah menghantar saya untuk awak ! Saya sayang kan awak. Saya jatuh cinta pada awak masa saya terlanggar awak dengan motosikal dahulu. Saya tak kenal awak, tapi perasaan halus itu datang sendiri. Tapi, saya dah rasakan sebahagian jiwa awak ada bersama saya. ” Luqman Affendi menambah lagi.

” Kenapa awak tak bagi tau? Saya fikir saya bertepuk sebelah tangan lepas kes Alia dulu. Saya bersalah pada awak. Menuduh awak jahat. Lepas awak pergi dulu, saya dah mula rasa lain. Saya tak tahu dan saya tak pasti. Awak pula menghilang dan saya jumpa awak kat sini. “ Ujar Sofea Ariana lagi.
“ Saya dah maafkan awak dan Alia. Saya faham. Saya tak salahkan Alia juga.”
“ Riana, awak gadis yang saya cari , Gadis Bertudung Putih!”
“ Fendi, saya terima awak kerana awak Luqman Affendi. Bukan kerana Zamil Hakimi.” Tambah Ariana lanjut. Sejenak, Mereka bertukar senyuman.
“ Jom!! Kita pergi makan. Semua dah jelas kan” Rizal membuka bicara. Haryani juga gembira. Gembira kerana cinta Yana sudah kesampaian.

TAMAT SEBUAH KISAH CINTA SUCI.
12.40 minit malam. 9 Ogos 2009.

2 comments:

qiqa said...

salam sifu..
bes la sambungan gadis bertudung putih ni..
menggamit jiwa i tau...
kehilangan org yg dicintai tapi Allah aturkan insan lain pula untuk mengisi kekosongan hati...
tapi yg paling i suka,nama FENDI!!
nampak smat n i dah bole bayang rupa zamil hakimi n fendi 2..
he3..

p/s:tak lama lg,i pula yg terpisah dgn FENDI!!he3..

Azleena said...

hai qiqa ...ya ker best ...hu hu hu...
sifu sajer guna nama tuu...nak bagi hang 'suprised'.... ka ka ka...

menyentuh jiwa, menggamit kalbu...
fuyooo!!!...tak lama dah nak abis tahun 2009..
nanti semuanyer akan tinggal kenangan...
kenangan yg indah utk dikenang kan???

TQ 4 ur komen...