Friday, July 23, 2010

Relevankah Sulalatus Salatin [Sejarah Melayu] Dalam Memartabatkan Bangsa .


Setiap kesusasteraan di dunia dianggap sebagai salah satu cabang penting kebudayaan, bahkan ada ahli falsafah yang menganggap sebagai cabang yang terpenting daripada semua cabang kebudayaan itu. Hal Ini boleh dilihat pada pengiktirafan dunia terhadap keagungan kesusasteraan sesuatu bangsa sebagai pengakuan keagungan kebudaayan bangsa itu.

Secara peribadi , bagi saya seorang pembaca teks sastera tradisional dan peminat karya-karya melayu lama merasakan ia sangat relevan dalam memartabatkan bangsa Melayu kita. Banyak panduan dan kisah-kisah dlm pentadbiran raja Melayu dahulu yang wajar dijadikan pedoman masa ini.
Bukan saja kepada golongan raja-raja , malah rakat jelata sekalipun.

Malahan kita sedar bahawa hasil-hasil karya Melayu lama daripada korpus kesusasteraan Melayu trasisional ini menjadi sebuah jendela untuk masyarakat kini melihat , dan berinteraksi dengan masyarakat lampau . Bertitik tolak dari sini kita menyaksikan susur galur kehidupan masyarakat zaman dahulu, peristiwa-peristiwa yang berlaku dan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan Melayu itu. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu menjadi wadah nukilan minda komuniti dahulukala dan menjadi jambatan yang menghubungkan dunia hari ini.

Terdapat banyak kajian untuk memajukan kesusasteraan Melayu agar kesusasteraan Melayu itu mendapat pengiktirafan dunia sebagai salah satu kesusasteraan yang agung di dunia. Yang dimaksudkan di sini dengan kesusasteraan Melayu di atas adalah segala karya tulisan dan lisan orang Melayu dalam Bahasa Melayu yang mengandungi nilai yang agung dan abadi dalam pengertian yang luas. Terdapat pelbagai pengajaran yang dapat diambil kira dalam konteks masyarakat semasa. Dalam hal ini, pastinya sesebuah teks ditulis buat pembacaan khalayak sasaran tertentu. Senada itu, dapatlah kita anggarkan bahawa teks Sejarah Melayu sebenarnya ditulis buat generasi-generasi seterusnya bermula dari zaman teks ditulis .


Sebagaimana yang kita tahu , Sulatus salatin ini ialah karya Agung yang menjadi panduan kepada salasilah raja-raja sebenarnya . Dari sini lah bermulanya perjanjian atau waad antara raja dan rakyat yang mencetuskan sistem daulat dan derhaka.Masyarakat Melayu amat wajar membaca dan memahami kandungan teks ini yang kaya dgn pelbagai panduan, nasihat malah sindiran yg boleh mematangkan kita.

Karya-karya sebeginilah yang akan mendekatkan kita kepada khazanah bangsa kita bukannya terhindar drpd sejarah bangsa.Persoalan yang masih lagi berlegar-legar ialah apakah Sejarah Melayu ini sekadar bahan orientasi peperiksaan sahaja ? atau lebih kepada mendekatkan Melayu dengan akar umbinya .

Sulalatus Salatin tidak pernah terhasil atas dasar peperiksaan, latihan dalam kelas dan sebagainya. Hakikatnya, terhasilnya teks tersebut adalah sebagai sebuah teks dokumentasi yang secara tidak langsung merakamkan segala peristiwa suka, duka dan luka yang pernah mengambil tempat dalam dunia peradaban Melayu. Sealiran itu, gagasan seseparuh pihak yang merasakan seolah-olah Sulalatus Salatin tidak lagi relevan adalah kurang tepat. Mentelah lagi, Sulalatus Salatin tidak secara eksplisitnya membicarakan peradaban dalam Istana semata.

Dari sudut sosiologi pula, yakni dengan penggunaan teori memori sosial, kita harus sentiasa menyedari bahawa apa yang pernah berlaku dalam masyarakat lampau secara langsung membentuk fenomena masyarakat kontemporari. Dalam erti kata yang lain, masyarakat lampau membentuk dan mendasari fabrik sosial masyarakat semasa. Kita turut harus ingat bahawa terdapat banyak perkara yang tidak dapat dirungkaikan dengan jelas daripada gambaran kabur dalam minda manusia, daripada itu, SM memberikan wadah yang baik untuk kita mengenal diri kita dengan lebih baik - asal sahaja pembaca berusaha untuk mendekati teks tersebut dengan niat yang betul.


Kerelevanan teks tersebut sebenarnya juga bergantung pada tenaga pengajar yang mengajarnya (adakah mereka mampu untuk membuat pelajar sedar akan kerelevanannya) serta pelajar sendiri (adakah mereka ingin mengenal diri mereka sendiri). Sebenarnya, terdapat banyak masalah sosial hari ini yang kalau kita kaji selidik sudahpun ada sejak dahulu lagi. Misalnya, dalam Sejarah Melayu sendiri, pergaduhan dalaman antara masyarakat Melayu sendiri jauh lebih banyak daripada masyarakat luar.


Pendek kata, ia bukan sekadar sebagai bahan peperiksaan malahan sebagai teks mengenal kelebihan dan kekurangan budaya dan tamadun kita. Sejarah Melayu ini sebenarnya sumber ilmu tentang diri dan masyarakat kita sendiri. Kalau bukan kita siapa lagi yang akan memartabatkan bangsa sendiri . Suka atau tidak ini bangsa kita , ini darah kita , ini dunia kita . Dunia bangsa Melayu yang perlu dibela dan dijaga . Dunia warisan Melayu yang perlu digilap dan dikongsi dengan anak-anak baru yang kian luntur cinta kasihnya pada tamadun lama dan sejarah kesusasteraan yang kian luput dari mekar .
Jangan biarkan sinar kesusasteraan itu sirna .

No comments: