Wednesday, June 23, 2010

Mengapa Sastera Terpinggir di Tanah Sendiri ???


Sastera perlukan sokongan pembaca. Aspek pembangunan rohaniah iaitu mengapresiasi sastera wajar direnung juga dalam negara ini meraikan kemerdekaan dan pembangunan negara .Sastera akan berada pada tahap yang dinamik sekiranya sebahagian penduduknya banyak melibatkan dalam membaca novel, cerpen, dan sebagainya . Kalau selepas ini sastera diremehkan, jangan salahkan orang di luar dunia sastera. Kalau ada persepsi serong rakyat terhadap kesusasteraan tempatan, ini bertolak daripada sikap sesetengah kalangan orang sastera sendiri.

Begitu hampa melihat rata-rata masyarakat pada hari ini khasnya remaja di Malaysia tidak menunjukkan minat yang tinggi terhadap karya sastera dan bidang sastera secara global. Berapa ramai kah yang tahu mengenai karya agung bangsa kita, Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ? Berapa ramai pula yang habis membacanya serta memahami isi kandungannya? . Sungguh menyedihkan kita kerana tidak ramai yang mengambil berat akan hal ini.

Sesetengah generasi muda kita hari ini ramai yang tidak kenal akan nama seperti Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad atau Arena Wati? Nama-nama besar dalam dunia sastera ini cukup asing pada mereka. Malah generasi Internet, dan komputer riba ini merasakan sastera tidak lagi penting dan tidak menyumbang apa-apa dalam kehidupan. Jadi, tidak hairanlah ruang yang diberikan untuk aktiviti sastera di negara ini semakin hari semakin sempit.

Masyarakat kita sendiri kadangkala menganggap bidang ini tidak ada nilai komersil. Rata-rata memandang bidang sastera hanyalah hiburan semata-mata dan tidak sesuai dengan zaman baru Sains Teknologi . Kita jangan lupa, tidak ada yang lama maka tidak ada yang baru. Kita tidak sedar sastera itu umpama sebuah tingkap yang memberi kita peluang menjenguk ke masa silam atau mengembara ke masa hadapan .

Berbeza dengan masyarakat barat, karya-karya milik penulis besar seperti William Shakespeare terus disanjung hingga hari ini.Hasil karya tersebut terus dicari termasuk dalam kalangan generasi muda dan masih dijual secara meluas kerana ia terus diminati.Tetapi karya penulis lama kita dianggap tidak bernilai turut dikuburkan bersama.

Senario ini memberi gambaran masyarakat kita hari ini tidak tahu menilai jerih payah golongan bergelar sasterawan ini.Sudah payah mereka berfikir, mencipta dan menghasilkan bahan untuk dikongsi dengan masyarakat tidak diberi layanan yang setimpal. Hanya kita yang mampu mengangkat darjat, martabat dan kedudukan bangsa kita. Siapa lagi yang akan mendokong khazanah Kesusasteraan Melayu kalau bukan bermula daripada orang Melayu .

1 comment:

Abdul Rahman said...

Sepatutnya sastera telah didedahkan sejak kanak-kanak lagi dalam sistem pendidikan kita. BM dan Sastera tidak dapat dipisahkan.