Wednesday, December 29, 2010

Melangkah Ke Gerbang 2011


Salam Pertemuan Di Layar Maya .

Gerbang 2011 akan bertamu tidak lama lagi dan tirai 2010 akan dilabuhkan....

Setiap perjalanan yang telah ditempuhi sepanjang 2010 akan menjadi guru yang sejati kepada kita sebagai pengalaman yang tak mungkin dilupakan.

Perjalanan yang lebih getir akan menunggu menjelang 2011 nanti .
Bina lah azam baru yang lebih baik dari tahun lalu .

Catatan ini pembuka layar blog bagi tahun 2011 yang akan menjelang .

Selamat tinggal 2010 dan selamat datang 2011.

InsyaAllah , saya akan masukkan lebih banyak bahan dan maklumat untuk pengetahuan semua khasnya pelajar Sastera STPM , amnya untuk warga tetamu blog ini.



Monday, November 8, 2010

MENGENALI KESUSASTERAAN .

Kesusasteraan dapat dikatakan sebagai ciptaan seni yang dinyatakan dengan bahasa yang indah dan mengandungi isi yang baik lagi berfaedah. Kesusasteraan bukan sahaja mempunyai hubungan yang amat erat dengan masyarakat penulisnya, tetapi kesusasteraan juga terlibat dengan pergolakan yang belaku dalam masyarakat.

Sejarah perkembangan Kesusasteraan Melayu di Malaysia boleh dilihat dalam pelbagai sudut . Pengenalan kesusasteraan itu sendiri membawa makna yang jelas tentang korpus kesusasteraan . Kesusasteraan menggunakan bahasa sebagai alat penyampaian. Keindahan ciptaan sastera diperlihatkan melalui bahasanya Melalui bahasa pembaca dapat merasakan keindahan yang ada pada kesusasteraan.

Segala isi dan tujuan yang mahu disampaikan membolehkan pembaca menghayati pengalaman dan perasaan yang terpapar dalam kesusasteraan . Sejarah Perkembangan genre Kesusasteraan Melayu Tradisional melibatkan Kesusasteraan Melayu Tradisional dan Kesusasteraan Melayu Moden. Masyarakat akan lebih terdedah dan tertarik dengan perkembangan Kesusasteraan Melayu jika sejarahnya dapat dianalisis serta digarap secara bersepadu

Kesusasteraan ialah cerminan masyarakat dan mempunyai hubungan dengan manusia. Perkataan Sastera berasal daripada Bahasa Sanskrit iaitu ‘ castra’ disebut ‘syastera’ yang bermakna kitab suci. Susastera bermakna seni sastera atau seni bahasa . Istilah kesusasteraan juga dipanggil persuratan. ”susastera” menyimpul maksud yang terdekat iaitu kesenian persuratan yang bersifat halus dan indah .

Setiap kesusasteraan di dunia dianggap sebagai salah satu cabang penting kebudayaan, bahkan ada ahli falsafah yang menganggap sebagai cabang yang terpenting daripada semua cabang kebudayaan itu.


Seperjalanan Di Kuala Kangsar



SALAM NOVEMBER BUAT SEMUA !!!









Pernah sampai di Kuala Kangsar??
Tentu ramai yang pernah ....
Jangan lupa singgah di sini ........


Saturday, October 9, 2010

Sekian Lama Ku Tinggalkan ....


Salam Mesra , Salam ikhlas buat semua pengunjung blog ini ...

Rasanya dah lama sangat tak buka blog ni ....
last buat post pun masa bulan puasa hari tu ...
hmm.... kekangan masa dan kerja laa. Tak sempat nak hantar post baru .

Masa berlalu dgn pantas sekali, masa ibarat pedang , kalau kita tak potong dia, dia akan potong kita , tu yang busy sangat tu. Nak potong memotong !!!

Rindu nak menulis panjang2 ... tapi ni pun masa senggang kejap jer .. nak kena fokus utk peperiksaan akhir pelajar dan peperiksaan besar STPM tahun ni ..
nampaknya 2010 dah dekat nak habis ... pantas benar masa berlari ....

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan Berkunjung Tiba .... 2010


Selamat Menyambut Bulan Ramadhan ....2010 ...




Semoga menjalani ibadah puasa dengan ikhlas...



Friday, July 23, 2010

Relevankah Sulalatus Salatin [Sejarah Melayu] Dalam Memartabatkan Bangsa .


Setiap kesusasteraan di dunia dianggap sebagai salah satu cabang penting kebudayaan, bahkan ada ahli falsafah yang menganggap sebagai cabang yang terpenting daripada semua cabang kebudayaan itu. Hal Ini boleh dilihat pada pengiktirafan dunia terhadap keagungan kesusasteraan sesuatu bangsa sebagai pengakuan keagungan kebudaayan bangsa itu.

Secara peribadi , bagi saya seorang pembaca teks sastera tradisional dan peminat karya-karya melayu lama merasakan ia sangat relevan dalam memartabatkan bangsa Melayu kita. Banyak panduan dan kisah-kisah dlm pentadbiran raja Melayu dahulu yang wajar dijadikan pedoman masa ini.
Bukan saja kepada golongan raja-raja , malah rakat jelata sekalipun.

Malahan kita sedar bahawa hasil-hasil karya Melayu lama daripada korpus kesusasteraan Melayu trasisional ini menjadi sebuah jendela untuk masyarakat kini melihat , dan berinteraksi dengan masyarakat lampau . Bertitik tolak dari sini kita menyaksikan susur galur kehidupan masyarakat zaman dahulu, peristiwa-peristiwa yang berlaku dan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan Melayu itu. Sulalatus Salatin Sejarah Melayu menjadi wadah nukilan minda komuniti dahulukala dan menjadi jambatan yang menghubungkan dunia hari ini.

Terdapat banyak kajian untuk memajukan kesusasteraan Melayu agar kesusasteraan Melayu itu mendapat pengiktirafan dunia sebagai salah satu kesusasteraan yang agung di dunia. Yang dimaksudkan di sini dengan kesusasteraan Melayu di atas adalah segala karya tulisan dan lisan orang Melayu dalam Bahasa Melayu yang mengandungi nilai yang agung dan abadi dalam pengertian yang luas. Terdapat pelbagai pengajaran yang dapat diambil kira dalam konteks masyarakat semasa. Dalam hal ini, pastinya sesebuah teks ditulis buat pembacaan khalayak sasaran tertentu. Senada itu, dapatlah kita anggarkan bahawa teks Sejarah Melayu sebenarnya ditulis buat generasi-generasi seterusnya bermula dari zaman teks ditulis .


Sebagaimana yang kita tahu , Sulatus salatin ini ialah karya Agung yang menjadi panduan kepada salasilah raja-raja sebenarnya . Dari sini lah bermulanya perjanjian atau waad antara raja dan rakyat yang mencetuskan sistem daulat dan derhaka.Masyarakat Melayu amat wajar membaca dan memahami kandungan teks ini yang kaya dgn pelbagai panduan, nasihat malah sindiran yg boleh mematangkan kita.

Karya-karya sebeginilah yang akan mendekatkan kita kepada khazanah bangsa kita bukannya terhindar drpd sejarah bangsa.Persoalan yang masih lagi berlegar-legar ialah apakah Sejarah Melayu ini sekadar bahan orientasi peperiksaan sahaja ? atau lebih kepada mendekatkan Melayu dengan akar umbinya .

Sulalatus Salatin tidak pernah terhasil atas dasar peperiksaan, latihan dalam kelas dan sebagainya. Hakikatnya, terhasilnya teks tersebut adalah sebagai sebuah teks dokumentasi yang secara tidak langsung merakamkan segala peristiwa suka, duka dan luka yang pernah mengambil tempat dalam dunia peradaban Melayu. Sealiran itu, gagasan seseparuh pihak yang merasakan seolah-olah Sulalatus Salatin tidak lagi relevan adalah kurang tepat. Mentelah lagi, Sulalatus Salatin tidak secara eksplisitnya membicarakan peradaban dalam Istana semata.

Dari sudut sosiologi pula, yakni dengan penggunaan teori memori sosial, kita harus sentiasa menyedari bahawa apa yang pernah berlaku dalam masyarakat lampau secara langsung membentuk fenomena masyarakat kontemporari. Dalam erti kata yang lain, masyarakat lampau membentuk dan mendasari fabrik sosial masyarakat semasa. Kita turut harus ingat bahawa terdapat banyak perkara yang tidak dapat dirungkaikan dengan jelas daripada gambaran kabur dalam minda manusia, daripada itu, SM memberikan wadah yang baik untuk kita mengenal diri kita dengan lebih baik - asal sahaja pembaca berusaha untuk mendekati teks tersebut dengan niat yang betul.


Kerelevanan teks tersebut sebenarnya juga bergantung pada tenaga pengajar yang mengajarnya (adakah mereka mampu untuk membuat pelajar sedar akan kerelevanannya) serta pelajar sendiri (adakah mereka ingin mengenal diri mereka sendiri). Sebenarnya, terdapat banyak masalah sosial hari ini yang kalau kita kaji selidik sudahpun ada sejak dahulu lagi. Misalnya, dalam Sejarah Melayu sendiri, pergaduhan dalaman antara masyarakat Melayu sendiri jauh lebih banyak daripada masyarakat luar.


Pendek kata, ia bukan sekadar sebagai bahan peperiksaan malahan sebagai teks mengenal kelebihan dan kekurangan budaya dan tamadun kita. Sejarah Melayu ini sebenarnya sumber ilmu tentang diri dan masyarakat kita sendiri. Kalau bukan kita siapa lagi yang akan memartabatkan bangsa sendiri . Suka atau tidak ini bangsa kita , ini darah kita , ini dunia kita . Dunia bangsa Melayu yang perlu dibela dan dijaga . Dunia warisan Melayu yang perlu digilap dan dikongsi dengan anak-anak baru yang kian luntur cinta kasihnya pada tamadun lama dan sejarah kesusasteraan yang kian luput dari mekar .
Jangan biarkan sinar kesusasteraan itu sirna .

Saturday, July 10, 2010

Peristiwa Penting Dlm Sulalatus Salatin [Edisi Pelajar]


  1. Raja Suran hendak menakluk China – ms 13-14
  2. Raja Suran turun ke dalam laut – ms 14 – 15
  3. Kisah kedatangan anak2 Raja Suran ke bumi – ms 19- 22
  4. Waad dimeterai – ms 23- 26
  5. Kemunculan Puteri Tanjung Buih – ms 27
  6. Asal usul Batala – ms 22
  7. Ular Sakti Mona dibunuh – ms 28
  8. S.T.B menawarkan air masin – ms 31
  9. S.T. B meredakan ribut di Teluk Belanga – 39 -40
  10. Temasik dijumpai – Singapura dibuka. Ms 40
  11. Badang menjadi gagah – 47-54
  12. Pembukaan Semundra – ms 55
  13. Merah Silu memeluk Islam – ms 57
  14. Pembukaan Pasai – ms 59
  15. Pembunuhan Tuan Jana Khatib- ms 67- 69
  16. Singapura dilanggar todak – ms 68-69
  17. Pembunuhan Puteri Sang Rajuna Tapa – ms 69
  18. Sang Rajuna Tapa belot – 69-70
  19. Pembukaan Melaka – ms 70 – 71
  20. Islam di Melaka – ms 72-74
  21. Raja Kassim merampas kuasa – ms 85 -86
  22. Asal Hang Tuah – ms 103
  23. Hang Tuah dihukum – ms 130-131
  24. Maharaja China kedal – ms 135 -137
  25. Hang Jebat menderhaka – ms 138-140
  26. Pertarungan Tuah-Jebat – 141-142
  27. Tun Besar dibunuh – ms 152-153
  28. Sultan Mahmud dan Tun Biajid - ms 193
  29. Tun Ali Sandang dibunuh –ms 194
  30. Meminang PGL – ms 212 – 215
  31. Tun Teja diculik – ms 228-230
  32. Ai Kening dilarikan – ms 231 – 233
  33. Raja Zainal dibunuh – ms 235-236
  34. Bendahara Tun Mutahir dibunuh – ms 255 – 257
  35. Kisah Tun Fatimah selepas kahwin – ms 264 – 266
  36. Sultan Mahmud melarikan diri, sultan Ahmad mati – ms 270 – 271
  37. Sultan Mahmud mangkat – ms 287

Jurai Pemerintahan Melaka


1. Pemerintahan Raja Iskandar Syah - ms 71 ( 3 tahun atas takhta )

Anak : Raja Muda .

Raja Muda dpt anak : Raden Bagus, Raja Tengah, Raden Anum .

Raja Tengah naik takhta : anaknya – Raja Kecil Besar .


2. Pemerintahan Raja Kecil Besar –Sultan Muhammad Syah ms 72 – 83

(67 tahun atas takhta )

Anak : Raja Kecil Lambang , Raja Mahkota

Kahwin lagi (Tun Ratna Wati) dpt anak – Raja Kassim

Kahwin anak Raja Rekan – dpat anak Raja Ibrahim (Sultan Abu Syahid)


3. Raja Ibrahim (naik takhta ) Sultan Abu Syahid – ms 83-86 .

Atas takhta 1 tahun 3 bulan .


4. Raja Kassim ( Sultan Muzaffar Syah ) ms 85 – 96

. ( 42 thn memerintah)

Anak : ( Raja Abdullah - Sultan Mansur Syah ) naik takhta umur 27 .


5. Sultan Mansur Syah . (Raja Abdullah ) Ms 96 – 172

Kahwin dgn Tun Putih –iaitu anak Seri Nara Diraja - dpt anak iaitu Raja Mahadewi dan Raja Cendera ( Peremupuan)

Dapat anak dgn gundik – Puteri Bakal

Kahwin dgn Puteri Onang Sari (anak Maharaja Dewa Sura- Indera Pura )

Dpt anak : Raja Ahmad (nama timangan Raja Hussain) , dan Raja Muhammad .

Kahwin dgn Raden Galuh Cendera Kirana – dapat anak iait Raden Dikelang

Kahwin dgn saudara Bendahara Paduka Raja dpt anak – Raja Hussain

Kahwin dgn Puteri Hang Liu – Paduka Hamimat ( anak)


6. Raja Ahmad /Raja Hussain / Sultan Alau’d-Din Riayat Syah – ms 172 – 186

Kahwin sama anak raja - Dapat anak Raja Menawar dan Raja Zainal .

Kahwin dgn Tun Naja – dpt anak Raja Hitam, Raja Muhammad, Raja Fatimah

Kahwin – dpt anak Raja Mamad / Sultan Mahmud .


7. Sultan Mahmud Syah – ms 187 - 288 Bendahara Paduka Raja mati ( ms 191)

S.Mahmud kahwin dgn anak Sultan Muhammad Syah ( Pahang) dpt anak – Raja Ahmad dan 2 perempuan.

Meminang PGL

Hang Tuah meninggal – 220

Kahwin Tun Teja – Puteri Adma Dewi

Tun Fatimah – dpt anak Raja Putih , Raja Khadijah , Raja Ali ( Timangan Raja Kecil Besar ) – Gelaran Sultan Muda .


Friday, July 2, 2010

SEKITAR HARI KOPERASI SEKOLAH 2010


Gerai Jualan Cikgu ....



Gerai Jualan Kelab PROSTAR



Gerai Jualan Luar - guru-guru jadi pembeli laa...

Selamat Hari Koperasi SM SIS ..........


Wednesday, June 30, 2010

Rombongan Tingkatan 6 SM SIS Ke Pantai Merdeka

Lokasi : Pantai Merdeka Ressort
Tarikh : 27 hb Jun 2010
Masa : 7.00 pg - 6.00 ptg


Para guru dalam pertandingan Mencipta Pakaian Kertas .....


Pertandingan gubahan bunga
oleh guru perempuan


Kanak-kanak riang ria bermain .....



Sungguh-sungguh menyiapkan gubahan bunga ....

Perjalanan ke Tanjung Dawai menaiki bot
5 minit daripada Pantai Merdeka ...

Pekan Hari di Gerik ...


Pekan Hari di Gerik .


Tembikai ....

Ayam proses segar ....

Makanan panas ......


Wednesday, June 23, 2010

Mengapa Sastera Terpinggir di Tanah Sendiri ???


Sastera perlukan sokongan pembaca. Aspek pembangunan rohaniah iaitu mengapresiasi sastera wajar direnung juga dalam negara ini meraikan kemerdekaan dan pembangunan negara .Sastera akan berada pada tahap yang dinamik sekiranya sebahagian penduduknya banyak melibatkan dalam membaca novel, cerpen, dan sebagainya . Kalau selepas ini sastera diremehkan, jangan salahkan orang di luar dunia sastera. Kalau ada persepsi serong rakyat terhadap kesusasteraan tempatan, ini bertolak daripada sikap sesetengah kalangan orang sastera sendiri.

Begitu hampa melihat rata-rata masyarakat pada hari ini khasnya remaja di Malaysia tidak menunjukkan minat yang tinggi terhadap karya sastera dan bidang sastera secara global. Berapa ramai kah yang tahu mengenai karya agung bangsa kita, Sulalatus Salatin Sejarah Melayu ? Berapa ramai pula yang habis membacanya serta memahami isi kandungannya? . Sungguh menyedihkan kita kerana tidak ramai yang mengambil berat akan hal ini.

Sesetengah generasi muda kita hari ini ramai yang tidak kenal akan nama seperti Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad atau Arena Wati? Nama-nama besar dalam dunia sastera ini cukup asing pada mereka. Malah generasi Internet, dan komputer riba ini merasakan sastera tidak lagi penting dan tidak menyumbang apa-apa dalam kehidupan. Jadi, tidak hairanlah ruang yang diberikan untuk aktiviti sastera di negara ini semakin hari semakin sempit.

Masyarakat kita sendiri kadangkala menganggap bidang ini tidak ada nilai komersil. Rata-rata memandang bidang sastera hanyalah hiburan semata-mata dan tidak sesuai dengan zaman baru Sains Teknologi . Kita jangan lupa, tidak ada yang lama maka tidak ada yang baru. Kita tidak sedar sastera itu umpama sebuah tingkap yang memberi kita peluang menjenguk ke masa silam atau mengembara ke masa hadapan .

Berbeza dengan masyarakat barat, karya-karya milik penulis besar seperti William Shakespeare terus disanjung hingga hari ini.Hasil karya tersebut terus dicari termasuk dalam kalangan generasi muda dan masih dijual secara meluas kerana ia terus diminati.Tetapi karya penulis lama kita dianggap tidak bernilai turut dikuburkan bersama.

Senario ini memberi gambaran masyarakat kita hari ini tidak tahu menilai jerih payah golongan bergelar sasterawan ini.Sudah payah mereka berfikir, mencipta dan menghasilkan bahan untuk dikongsi dengan masyarakat tidak diberi layanan yang setimpal. Hanya kita yang mampu mengangkat darjat, martabat dan kedudukan bangsa kita. Siapa lagi yang akan mendokong khazanah Kesusasteraan Melayu kalau bukan bermula daripada orang Melayu .

Saturday, June 19, 2010

SULALATUS SALATIN [ SEJARAH MELAYU ]


1. PENGENALAN

  1. Sulalatus Salatin – dalam bahasa Arab
  2. Maknanya ialah salasilah sultan-sultan / peraturan segala raja-raja.
  3. Merupakan hikayat melayu yg dibawa dari Goa.
  4. Penulisan naskah awalnya tamat pd 1536 Masihi. Disusun semula pd 1612 masihi.
  5. Disusun oleh Tun Muhammad/ Tun Seri Lanang.
  6. Jawatan pd masa itu ialah bendahara kpd Sultan Alaudin Riayat Syah III.

2. Kandungan teks :


1.Bahagian Fakta sejarah

a)KisahRajaMelaka,(S.Muzaffar, SMansur,SAlaudin,S.Mahmud, dll)

b).Kisah hubungan Melaka dan negara luar. Melaka dgn Siam,China,Keling,Pasai,Pahang,dll

c)Peperangan dan penaklukan


2. Bahagian fiksyen/Sastera (bukan sejarah)

a. Raja Suran turun ke laut

b. Kisah di Bukit Siguntang

c. Mitos dan lagenda

3. INTISARI BAB PENTING

Bab 1-3 (sebelum Melaka)

Kisah Iskandar Zulkarnain,Kida Hindi, Raja Suran, singapura dan Pasai.

Bab 4-5 (Awal Melaka )

Melaka dibuka,Terima Islam,Kisah S.Muhammad Syah, kisah S.Muzaffar Syah.

Bab 5-9 ( zaman kegemilangan Melaka)

Kisah S.Mansur Syah dan S. Alaudin Riayat Syah.

Bab 9-15

Zaman kemerosotan Melaka, Kisah S.Mahmud Syah, dan (selepas Melaka)


WARKAH SEKUNTUM BUNGA DAN SEBIJI EPAL BUAT GURU-GURU TERCINTA !


Allah ciptakan matahari, yang tak pernah bosan bersinar, seperti semangat dan kasih sayangmu mendidik kami .

Allah ciptakan bulan menerangi malam, seperti engkau membimbing dan menerangi kami dengan pelbagai ilmu

Allah ciptakan bintang di malam hari sebagai penghias, seperti engkau menghiasi hari-hari kami dengan begitu indahnya.

Allah ciptakan bunga yang begitu harum, seperti engkau yang memberikan keharuman pada hari-hari kami di sekolah …..

Sekadar Kata-kata biasa ....


Sekian lama tidak melayari dan menulis pada dada blog ini, hati menjadi rindu dan tidak keruan.

Apa kah benar hati akan menjadi sedikit tenang selepas melepaskan keresahan dan kegelisahan dengan mencoretkan kata-kata dan ayat-ayat yang akan mencairkan ais yang membeku di hati.

Hari ni dan esok tinggal lagi dua hari untuk menghadapi sesi persekolahan penggal ke 2 .
Maknanya banyak lagi tugas tugas yang perlu dihadapi dan diharungi pada hari muka.

Musim cuti sekolah dah pun berlalu hampir 14 hari. Namun, terasa seperti baru semalam cuti diumumkan...

sungguh tak keruan, saat saat gembira itu akan pantas berlalu, dan saat-saat berduka itu akan kekal di hati.

Sekadar bicara hati ........

Friday, May 21, 2010

Aktiviti KRS


Kami ada buat perjumpaan dua minggu lepas ...
cuba-cuba buat gajet guna pencungkil gigi ...





Budak2 macam suka dan agak kreatif ...
banyak lagi yang dibuat ,
ni antara yang baru siap....


Peristiwa Bulan Mei .


Bulan Mei ni, ada dua kisah besar dalam hidup ku....


1. Besday my hubby .......
buat sambutan alakadar kat rumah jer dgn anak2 .....


2. Hari Guru

Ni laa hadiah pertukaran yg aku beli .... Peti Harta Karun ....
dapat kat member baik, Shima....
Tahniah kat Shima....


Monday, April 19, 2010

Persinggahan di Bukit Bunga, Kelantan....

banyak nyer ....mana satu ni...
hmm... macam2 kena jual
harga boleh runding ....
Singgah lah kat sini ya !! .... ala-ala kedai bebas cukai ...


Thursday, April 15, 2010

ANAK-ANAK PEWARIS BANGSA ....


Anak diibaratkan kain putih yang suci dan bersih dan ibu bapalah yang akan mencorakkan mereka. Apapun yang berlaku, pelajar itu sendiri wajar menginsafi diri. Jika keluarga mereka terdiri dari kalangan yang berada, ini tidak semestinya anak-anak juga hidup senang kemudian hari.

Kekayaaan itu ialah milik bapa dan bukannya anak-anak. Kepada yang keluarganya miskin, diri sendirilah yang patut mengubahnya. Keluarga ialah unit paling asas bagi pembentukan sikap dan nilai murni dalam diri anggotanya. Keluarga membimbing tingkah laku dan membentuk serta memantapkan integriti anggotanya. Tumpuan pembentukan nilai-nilai murni harus bermula daripada kanak-kanak manakala ibu bapa dan penjaga harus membimbing dan menjadi teladan yang baik.

Oleh itu, dalam gerakan pemantapan integriti, institusi keluarga juga memainkan peranan selain peranan guru-guru di sekolah.Peningkatan jumlah penduduk setiap tahun membawa perubahan dalam kualiti hidup masyarakat Malaysia. Menjelang tahun 2020 pelbagai perubahan besar dijangka terus berlaku khususnya membabitkan keluarga dan komuniti di negara ini.

Perubahan nilai masyarakat dari segi psikologi dan sosial, tidak dapat tidak mempengaruhi penghuninya dalam pelbagai segi. Berdasarkan jumlah kadar purata pertumbuhan 27.2 peratus setahun, penduduk Malaysia dijangka meningkat daripada 27.2 juta tahun lalu, kepada 28.9 juta orang pada 2010, sementara pada 2020 dijangka mencacat pertambahan kepada 34.9 juta.

Peranan konstruktif dan dinamik pendidikan amat penting dalam masyarakat yang berubah-ubah disebabkan rombakan sistem sosial, ekonomi, budaya dan politik menimbulkan banyak masalah sosial yang perlu ditangani dengan bijaksana dan berhemat.Pendidikan dan persekolahan perlu menguatkan wawasan sosial dan moral ke arah membentuk dan menangani masalah dan perkembangan sosial yang melanda masayarakat kita pada masa kini.

MITOS ....

MITOS dianggap oleh masyarakat Melayu lama sebagai cerita yang benar-benar pernah terjadi dan mempunyai sifat suci yang tersendiri.

Orang Melayu pada ketika itu mempunyai hubungan yang rapat dengan sistem kepercayaan masyarakat terutamanya dengan fahaman animisme.

Oleh itu maka tokoh atau watak yang terlibat dalam cerita-cerita mitos biasanya terdiri daripada orang halus (hantu), dewa-dewa atau separuh yang keseluruhan peristiwanya pula berlaku pada zaman lampau dan yang berbeza daripada dunia hari ini.

Dari segi strukturnya, mitos dianggap cerita yang agak sederhana sifatnya yang terdiri daripada beberapa motif, antaranya untuk menghubungkan manusia dengan kuasa yang agung, demi pengekalan norma dalam masyarakat.



Biografi Tokoh-tokoh Sasterawan Tradisional

Nota Sastera Tingkatan 6

Biografi Tokoh-tokoh Sasterawan Tradisional

TUN SRI LANANG

SYEIKH DAUD AL-FATANI

NURUDDIN AL-RANIRI

RAJA ALI HAJI

HAMZAH FANSURI

SYED MUHAMMAD BIN ZAINAL ABIDIN

BUKHARI AL-JAUHARI

SYEIKH AHMAD BIN MUHAMMAD ZAIN AL-FATANI


TUN SRI LANANG

Nama sebenarnya ialah Tun Muhamad bin Tun Ahmad. Dilahirkan di Johor. Beliau ialah keturunan Bendahara Melaka dan Johor. Hidup pada akhir abad ke-17. anak kepada Paduka Temenggung Ahmad. Oleh sebab itu, beliau mempunyai pengetahuan yang luas dalam sejarah pertuanan Melaka dan Johor. Kebolehan itu mendorong beliau mengarang. Beliau menjadi Bendahara Johor pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Jalil (1570-1579). Tun Sri Lanang pernah membantu Raja Abdullah memerintah Johor setelah Sultan Alauddin Riayat Syah tidak berminat memerintah. Raja Abdullah telah meminta beliau yang bergelar Bendahara Paduka Raja mengarang buku Sejarah Melayu pada tahun 1612.

Pada tahun 1613, beliau telah dibawa ke Acheh apabila Johor dikalahkan oleh Acheh. Beliau menemui Syeikh Nurudin al-Raniri dan mengajar bahasa Melayu kepada Syeikh itu. Di Acheh juga beliau menyambung penulisan bukunya, ‘Buku Melayu’. Hal ini ada tersebut dalam buku ‘Bustan al-Salatin’ karya Syeikh Nuruddin al-Raniri fasal 12 bab 11. Beliau sangat meminati kitab-kitab dan buku-buku pengetahuan. Karangan beliau telah membolehkan kita mengetahui sejarah dan budaya bangsa kita pada hari ini.


NURUDDIN AL-RANIRI

Nama sebenarnya ialah Syeikh Nuruddin bin Ali al-Raniri. Beliau berasal daripada Render, berhampiran bandar Sirat dalam daerah Gujerat, India. Beliau pernah mempelajari bahasa Melayu daripada seorang Jawa ketika berada di Mekah dan mendalaminya daripada ajaran Tun Sri Lanang. Beliau seorang pengarang yang banyak menghasilkan karya-karya dan memetik serta menterjemah karangan-karangan daripada bahasa Arab dan Parsi. Beliau sangat disayangi Sultan Acheh. Atas perintah Sultan Iskandar Thani, beliau mengarang ‘Bustan al-Salatin’ (Taman Raja-raja) pada tahun 1638. Sebelum itu, beliau telah mengarang kitab al-Mustaqin (1628). Beliau juga telah menterjemahkan ‘Kitab Syarah al-Akaid al-Nasafiya’ ke dalam bahasa Melayu daripada bahasa Arab dengan namanya ‘Durrat al-Faraid Bisyarah al-Akaid’.

Beliau menentang hebat ilmu suluk yang dikembangkan oleh Hamzah Fansuri dan Syamsuddin al-Sumatera-i. Untuk itu, beliau mengarang kitab ‘Tabyan fi Makrifat al-Adyan’ (1664) yang mengandungi tentangan terhadap ajaran suluk itu. Ada beberapa buah lagi kitab yang dikarangnya iaitu ‘Asrar al-Insan fi Makrifat al-Roh wal-Rahman’ (1640), ‘Kitab Akhbar al-Akhirat’(1642) dan ‘Jawahir al-Ulum fi Kasyf al-Maklum’ (1642).

Sebagai seorang ulamak yang disayangi sultan dan keluarganya, beliau mempunyai pengaruh yang sangat besar di kalangan pemerintah sehingga penentangannya terhadap Hamzah Fansuri dan Syamsuddin disokong sultan dan para pembesar lainnya. Beliau merupakan penyumbang utama dalam bidang keagamaan dan juga kitab ketatanegaraan. Sumbangan beliau memberikan pengetahuan, petunjuk dan panduan kepada rakyat serta pemerintah.


HAMZAH FANSURI

Beliau sangat terkenal sebagai seorang pujangga Melayu-Islam dalam zaman kegemilangan Acheh. Beliau dilahirkan di Barus, Sumatera Utara. Beliau terkenal sebagai seorang penyair dan ahli suluk. Beliau pernah mengunjungi negeri Pahang, Bentan, Jawa, Siam, Mekah dan Madinah. Beliau tidak jemu-jemu mempelajari segala ilmu. Beliau juga mengembangkan ajaran-ajaran agama dengan dibantu oleh Syamsuddin al-Sumatera-i. Namun begitu, ajaran-ajaran suluknya ditentang hebat oleh Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Abdul Rauf dari Singkel.

Segala pendapat, ajaran, dan karangan Hamzah dikatakan membahayakan pengikut-pengikut agama Islam. Akibatnya,Sultan Iskandar Thani memerintahkan kitab-kitab karangan Hamzah dan Syamsuddin dibakar pada tahun1637. Hamzah Fansuri juga terkenal sebagai seorang penyair yang menghasilkan karya yang mengandungi kias ibarat, panduan hidup serta teladan kepada manusia.

Hal ini boleh dilihat dalam ‘Syair Perahu’. Beliau mengibaratkan kehidupan manusia umpama sebuah perahu. Antara syair-syair beliau yang lain ialah ‘Syair Burung Pungguk, Syair Dagang, Syair Sidang Fakir dan Syair Burung Pingai’. Manakala karangan beliau yang lain ialah dua buah kitab iaitu’ Sarab al-Asyikin dan Asrar al-Ariffin fi-Bayan Ilmu al-Suluk waI-Tauhid’. Hamzah terkenal dalam Kesusateraan Melayu Tradisional sebagai orang yang memperkenalkan bentuk syair yang kita kenali sekarang ini. Selain itu, beliau juga menjadi penyumbang utama dalam Sastera Kitab.


BUKHARI AL- JAUHARI

Beliau seorang pujangga Melayu. Hidup dalam kurun ke-17. Beliau berasal dari Johor, tetapi menetap di Acheh pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam. Pada tahun 1603, beliau mengarang ‘Taj al-Salatin’ yang dikatakan berdasarkan kepada beberapa buah kitab daripada bahasa Arab dan Parsi. Kitab ini mengandungi falsafah kemanusiaan, khusus sebagai panduan kepada raja. Namun begitu, ‘Taj al-Salatin’ sangat terkenal di Alam Melayu, dipelajari oleh bangsawan di Solo dan Jogja serta diterjemahkan ke dalam bahasa Jawa dan Makasar. Kitab ini sangat tinggi nilainya kerana pengaruhnya yang sangat begitu luas.

Sebagai seorang pengarang, tidak syak lagi bahawa beliau ialah penyumbang kepada genre ketatanegaraan yang membolehkan kita mengetahui peraturan-peraturan yang dipakai pada zaman dahulu untuk memerintah dan tugas serta tanggungjawab semua pihak yang mendiami sesebuah negeri.


SYEIKH DAUD AL-FATANI

Nama sebenar beliau Syeikh Daud ibn Abdullah. Lahir di Krisik, Patani, Selatan Thai pada awal abad ke-18. Beliau pernah belajar selama 30 tahun di Mekah dan 5 tahun di Madinah. Beliau terkenal sebagai ulamak yang banyak mengarang buku-buku agama di samping berdakwah menerusi buku-buku karangannya di seluruh Alam Melayu.

Di samping itu,beliau mempunyai pengikut dan anak muridnya di seluruh Alam Melayu termasuk raja-raja dan pembesar seperti Sultan Safuddin, Raja Sambas. Antara karangan-karangan beliau yang terkenal ialah ‘Kifyatul Muhtaj’ (Hikayat Mikraj al-Nabi), ‘Al-Dhur al-Thamin’ (membicarakan tentang pengikut Islam), ‘Ghayatul takrib’ (membicarakan hukum faraid), ‘Minhaj al-Abidin’ dan ‘Furu al-Masa’il waUsul al-Masa’il. Berpandukan hasil-hasil karya beliau, kita dapat

menggolongkan Syeikh Daud sebagai ulamak dan pengarang sastera kitab yang gigih dan berpengaruh di Alam Melayu.


RAJA ALI HAJI

Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat, Riau. Berketurunan pembesar Bugis. Datuknya Raja Haji, seorang pahlawan yang menjadi Yamtuan Muda Johor pada tahun 1777. Manakala ayahnya Raja Ahmad ialah pembesar Riau yang pernah dihantar berunding dengan Belanda di Jawa. Beliau pernah mengikut ayahnya menunaikan haji ke Mekah dan menuntut ilmu ke sana. Sekembalinya ke Riau, beliau bertugas sebagai penasihat dan guru kepada Raja Ali, Yamtuan Muda Johor ketika itu. Beliau terkenal sebagai ahli bahasa dan menulis buku tatabahasa Melayu iaitu ‘Bustan al-Katibin’ (Taman Pujangga) pada tahun 1857. Usaha beliau mendapat sanjungan kerana penyusunannya membantu menambah buku tatabahasa Melayu. Beliau juga mengarang sebuah kamus yang bernama ‘Kitab Pengetahuan Bahasa’ tetapi karyanya yang paling terkenal ialah ‘Tuhfat al-Nafis’ yang dikarangnya pada tahun 1865 di Pulau Penyengat, Riau yang menjadi pusat pemerintahan Empayar Johor-Riau.

Karya yang berbentuk Sastera Sejarah ini amat berbeza dengan karya yang sama denganya. Sungguhpun masih terdapat mitos dan lagenda di dalamnya, tetapi tarikh-tarikh telah diberikan kepada peristiwa-peristiwa yang berlaku, tidak seperti dalam ‘Sejarah Melayu’ dan ‘ Hikayat Raja-raja Pasai’.

Karya-karya beliau yang lain ialah ‘Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai, Syair Siti Sianah, Gurindam Dua Belas dan Syair Sinar Gemala Mastika Alam’. Oleh itu, kita boleh menganggap beliau sebagai seorang pengarang yang prolifik pada zamannya. Beliau bukan sahaja menyumbang kepada bidang kesusasteraan tetapi juga sejarah dan bahasa.


SYED MUHAMMAD BIN ZAINAL ABIDIN

Beliau terkenal dengan gelaran Tuk Ku Tuan Besar di Terengganu. Dilahirkn pada tahun 1795. Mendapat pendidikan langsung daripada bapanya dan seorang guru agama bernama Syeikh Abdul Kasir bin Abdul Rahim juga seorang ulamak dan mufti zaman pemerintahan Sultan Baginda Omar di Bulat Bayas. Beliau juga pernah berguru dengan Syeikh Wan Abdullah bin Muhammad Amin juga ulamak terkenal dan guru kepada Sultan zainal Abidin III. Seterusnya beliau pergi ke Mekah mempelajari ilmu fiqh, usuluddin, tasawuf di samping ilmu bahasa dan ilmu sastera (ilmu balaghah, arud dan qafiah). Hasilnya beliau sangat berminat dengan sastera.

Antara karya-karya beliau dalam bentuk puisi nazam ialah ‘Kanz al-Ula, Sirat al-Nabawiyah, Jawahir al-Saniyyah, Al-Durrat al-Fakhirat dan Tahliyat al-Wildan. Beliau juga menghasilkan beberapa karya tentang akidah dan fiqh. Beliau merupakan ahli agama dan sastera yang terkenal di Pantai Timur Semenanjung Malaysia suatu ketika dulu.


SYEIKH AHMAD BIN MUHAMMAD ZAIN AL-FATANI

Nama sebenar beliau ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain bin Mustafa. Lahir di Patani dalam tahun 1856. Mendapat pendidikan agama di tempat kelahirannya di Mekah dan di Mesir. Beliau bukan sahaja mempelajari ilmu usuluddin, fiqh, tauhid, hadis, tafsir, nahu dan saraf malahan sangat cenderung kepada mata pelajaran sains dan sastera.

Di samping itu, beliau meminati ilmu perubatan. Beliau telah menghasilkan beberapa buah karya dalam beberapa bidang ilmu. Hasil tulisannya terdapat 10 buah buku dalam bahasa Melayu dan 13 buah buku dalam bahasa Arab. Karangan-karangannya meliputi bidang-bidang usuluddin, fiqh, tasawuf, sejarah, sains, bahasa, sastera dan perubatan. Peluang bertugas di pencetakkan semasa di Mekah dan di Mesir membolehkannya mengarang kitab dan menerbitkannya. Antara karangan beliau yang terkemuka ialah ‘Kitab Hadiqat al-Azhar wa al-Rayahin’ yang memuatkan segala bidang ilmu. Oleh itu, beliau dapat dianggap sebagai tokoh pengarang yang serba boleh dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional.