Tuesday, November 24, 2009

From Kelantan With Love 1

“ Ma … pujuk lah papa.” Kata Erina lagi. Mendekati Nik Faridah yang duduk menjahit labuci dan manik di ruang tamu.

” Mana yang cantik Rin, warna oren ni ker , atau warna perak ni? ” Nik Faridah menyoal kembali.

”Ma... orang cakap dengan dia, dia tanya kita balik. Warna perak lah Ma. Baru nampak menyerlah. Baju mama ker ni? ” Tanya Erina kembali.

Nik Faridah senyum meleret. Sekilas memandang muka anak gadisnya .

” Baju kawan mama . Dia minta jahitkan manik . Katanya nak pakai pergi majlis sekolah nanti. ” Terang Nik Faridah .

” Kawan mana? Rin kenal tak? ”

“ Cikgu Rosmini. Cikgu Geografi Rin dulu. Ingat?” Sela Nik Faridah lagi.


Erina mengerutkan dahi sekejap. Mengingati bekas gurunya semasa dia belajar di Sek.Men.Kota , Kota Bharu. Kini hampir enam tahun dia meninggalkan sekolah itu selepas tamat pengajian di UPM. Dua tahun ini dia masih menganggur kerana belum mendapat pekerjaan yang sesuai.

Erina pernah memohon Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) , dan Diploma Pendidikan , namun masih belum dapat peluang menyambung pelajaran. Terbaru dia dan rakannya dari Ipoh, secara senyap-senyap memohon kekosongan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di bahagian Hulu Perak dan ternyata rezekinya ada di situ.

” Ma, cakap dengan papa nanti ya !! Rin nak sangat pergi sana. Bosan lah goyang kaki kat rumah.
Mama dan papa hari-hari pergi kerja. Rin kat rumah ni sorang-sorang.” Tambah Erina lagi.

Nik Faridah , Guru Kanan di S.M.K Kota, manakala Nik Mustafa pula, sebagai Penolong Pengarah Bahasa Melayu, di JPN Kelantan. Keadaan ini menjadikan rumah banglo itu sunyi pada hari kerja dan Erina menjadi penunggu sepi saban hari menantikan ibu bapa nya pulang .

” Rin kan tahu kami kerja. Kalau bosan, Rin pergi lah rumah Abang Fazli. ” Ujar Nik Fraidah merujuk kepada anak sulungnya Nik Fazli Nik Mustafa yang berkerja sebagai pensyarah Kesusasteraan di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM, Pulau Pinang.

” Mama ni. Rin dah bosan lah. Tahun lepas pun dah dua kali pergi sana. ”

” Rin kan tahu. Papa tak bagi Rin kerja jauh-jauh . Setakat makan-minum, nak ’shopping’ tu semua , mama dan papa boleh tanggung lagi. Rin dan Fazli jer anak mama dan papa. Kalau dua-dua pergi, sunyi sepi lah banglo papa ni.” Nik Faridah berujar kembali.

” Mama. Kami dah susah payah hantar permohonan. Najiha tu, dari Ipoh sanggup turun Gerik minta tolong mak saudara dia uruskan permohonan kami dulu. Kesian lah Ma. Orang dah susah-susah tolong, tak baik kalau Rin menolak. “ Erina berujar lagi.

Dia sangat mengharapkan Nik Faridah memujuk Nik Mustafa membenarkan dia berhijrah untuk kerja. Erina masih ingat tahun lepas dia berkunjung ke Ipoh dan Najiha mengajaknya ke PPD Hulu Perak . Di situ lah segala-galanya bermula.

“ Mama bincang dengan papa malam ni. Tapi Rin pun kena ada sekali.” Kata Nik Faridah lagi.

” Kalau papa tak bagi juga?” Soal Erina balik.

” Nak merajuk lah tu? Haa...jangan nak pergi rumah Mak Su kat Langgar tu. Mak Su tu, dah banyak masalah. Jangan Rin pergi ’top up ’ lagi ’problema’ dia. ” Tambah Nik Faridah berjenaka.

” Hurmm... mama ni. Mak Su tu bujang lagi kan. Kalau Rin duduk sana pun tak ada orang marah lah . Papa tu, tak sayang dengan Rin. Kalau sayang, mesti papa bagi Rin buat apa yang Rin nak. ” Tambah Erina lagi.

” Rin nak apa lagi? Tak cukup lagi dalam rumah ni?”

” B.E.B.A.S ” Jawab Erina sepatah .Malah perkataan itu siap dieja.

” Tu lah... anak dara zaman sekarang. Duduk senang-lenang dengan orang tua pun tak cukup lagi. Nak juga keluar . Kat luar tu, Rin tak tahu apa yang menunggu. ” Nik Faridah mula bersyarah .


” Sayanggg mama.” Erina tidak mahu memanjangkan hal itu. Dengan segera dia memeluk bahu wanita 49 tahun itu dengan manja.


” Eh ! Eh ! Eh... nanti habis lah manik ni. ” Nik Faridah mengomel. Seraya menarik baju yang sedang diperkemas jahitan manik itu.


” Cantik la ma... kalau Rin kahwin nanti, mama jahitkan labuci dan manik yang ’vouge’ tahu. Yang ’merelip-merelip’ kata orang.” Erina bergurau lagi.


” Haa... ada hati nak kahwin nampak. Kena ’interview’ dengan papa dulu. Papa tu, kalau bukan orang Kelantan, payah sikit nak lepas anak dara dia ni. Tengok Abang Fazli. Lekat dengan ’anak mami’ , jauh lah dengan keluarga.” Nik Faridah menambah kembali.


Erina ketawa melihat emosi Nik Faridah yang cemas. Risau sangat anak gadis kesayangan itu berkahwin dengan orang luar.


” Mama ni. Nanti Rin kahwin dengan orang jauh baru tahu. Baru mama dengan papa hari-hari jadi ’pungguk merindui bulan’ .”

” Hurmmm... tuu... bunyi kereta masuk. Papa dah balik tu,” Kata Nik Faridah . Bangun ke muka pintu rumah dua tingkat bertema klasik itu.


Erina juga mengekori Nik Faridah ke muka pintu. Mengharap ’mood’ Nik Mustafa baik hari itu.

“ Abang dah makan?” Soal Nik Faridah selepas Nik Mustafa melabuhkan punggung di sofa . Erina mengambil posisi yang berhadapan.

“ Ada mesyuarat aper ni. Nampak ada benda jer?” Ujar Nik Mustafa yang berteka-teki melihat muka Erina yang senyum semacam. Isterinya pula senyum sampai ke telinga .

” Bang! Erina ni lah. Biar lah dia pergi bang. Ubah angin. Kerja pun bagus. Bukan lama. Kontrak jer kan.” Nik Faridah berujar selepas duduk di sebelah Nik Mustafa.

” Papa nak minum. Rin buat kan air nak?” Erina bermanja-manja untuk mendapatkan perhatian.

” Papa kenyang. Tadi, singgah kat New Horizon Garden dulu sebelum balik. Ada orang belanja makan.” Kata Nik Mustafa. Perjalanan dari New Horizon Garden di Batu 4 , mengambil masa tidak sampai 15 minit ke banglo mereka yang terletak di hadapan Sek.Keb. Tiong .

” Laki ke perempuan Pa?” Usik Erina .

” Kalau perempuan pun kenapa?”

” Ha ha ha... mama ’jeles’ nanti.”

” Siapa lah nak megurat papa Rin ni, dah masuk 49 tahun .” Nik Faridah pula menambah.

” Jangan Mama. Zaman sekarang, stail anak dara nak kat suami orang.

’Trend’ ma. Papa ni, jangan kata tua. Kacak. Segak. Rambut putih sikit tak apa, tapi tegap lagi ma. Ada karier lagi. ’Taste’ perempuan zaman moden tu. ” Erina mengusik Nik Faridah lagi. Nik Mustafa tersenyum pendek. Erina ni! Macam-macam idea !

” Anak dara mana lah ada ’taste’ kat orang tua Rin. ”

”Hishh... mama ni. Yang tua la banyak pengalaman. Nanti Rin kawin lelaki tua kang, terkejut mama.” Erina berujar sambil ketawa manja.

” Kalau ’handsome’ macam papa , nak juga Rin. Ada ‘taste’ orang kata.”

“ Hishh… cakap tu berlapik sikit. Nanti ’masin mulut’ tu, haa.... berperang lah dengan Nik Mustafa tu.” Nik Faridah pula berjenaka.

Tidak sanggup dia bayangkan anak gadis kesayangannya kalau berkahwin dengan lelaki sebaya Nik Mustafa. Zaman sekarang ! Macam-macam boleh jadi. Mintak jauh lah. Kalau boleh biar muda sama muda. Bujang sama bujang. Dara sama teruna. Fikirannya melayang sejenak.

” Macam mana bang? ” Nik Faridah mengujar lagi.

” Rin betul-betul dah fikir habis. Jadi guru sandaran ni bukan senang Rin. Kalau dah masuk kontrak, susah nak keluar. Tak takut kena hantar jauh-jauh. Hulu Perak bukan kecil Rin. Luas. Lenggong, Gerik, Pengkalan Hulu. Belum tahu dapat daerah mana.” Nik Mustafa bersuara selepas lama menyepi.

”Papa. Rin nak sangat pergi sana Pa. Najiha kan ada. Rin duduk sama-sama dia nanti ” Erina memujuk lagi.

Kali ini anak gadis itu sudah pun bertenggek di sebelah Nik Mustafa. Mohon diberi restu meninggalkan keluarga. Nik Mustafa menarik nafas pendek. Menggosok-gosok bahu Erina.


Anak itu tiada dua . Erina lah satu-satu anak peremuannya. Fazli sudah kerja jauh-jauh. Kalau boleh hatinya berat melepaskan Erina pergi. Tapi sampai bila dia boleh merantai anak itu. Suatu masa nanti, anak gadis itu terpaksa juga dilepaskan kepada suaminya.


Nik Faridah merenung suaminya. Menunggu bilah-bilah bicara dari mulut lelaki itu.

” Boleh lah papa. Rin janji. Rin akan selalu pulang. Bukan jauh Pa. Perak dengan Kelantan. Rin akan fon papa dan mama setiap hari. Boleh ya Pa!!”

Erina merenung Nik Faridah sekali lagi minta simpati.

Nik Mustafa sekali lagi menghela nafas pendek sebelum memberi kata putus.

” Rin !”

2 comments:

qyqa said...

owh...
ni novel bru cg ye...
sound interesting...
i wait

RYANATASYA said...

From Kelantan With Love cerita yang menarik bukan sahaja soundnya intersting tapi jalan ceritanya itu buat pembaca makin nak tahu kesudahan setiap episod...Tahnia akk atas penulisannya...