Sunday, October 25, 2009

UNSUR PATHOS

CONTOH SOALAN SULALATUS SALATIN

Rasa kedukaan, kesedihan dan dukacita turut dikenali sebagai pathos. Pathos juga menggambarkan sifat-sifat berserah, perihal penderitaan yang tidak tertanggung atau kesengsaraan kerana menanggung dukacita yang amat mendalam. Antara peristiwa yang mengandungi unsur pathos dalam Sejarah Melayu ialah;


Peristiwa 1
Perceraian Tun Kudu oleh Sultan Muzaffar Shah
Perceraian Tun Kudu adalah disebabkan perbalahan antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja. Sultan Muzaffar terpaksa menceraikan Tun Kudu demi mendamaikan persengketaan antara Tun Perak dengan Seri Nara Diraja. Sebagai seorang wanita yang masih muda Tun Kudu turut menanggung penderitaan diceraikan demi kepentingan Melaka dan terpaksa berkahwin dengan Seri Nara Diraja Tun Ali yang telah tua. Namun Tun Kudu tidak mempunyai pilihan lain kerana ketentuan hidupnya terserah kepada ketentuan kuasa dipihak lelaki lebih-lebih lagi atas titah sultan.

Peristiwa 2
Pembunuhan Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir
Bendahara Tun Mutahir telah difitnah hendak merampas kuasa. Hal ini menyebabkan beliau dan semua ahli keluarganya dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah, kecuali Tun Fatimah


Peristiwa 3
Pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat
Kesedihan dirasai apabila Hang Jebat telah menjadi korban demi membela penganiayaan keatas sahabat baiknya Hang Tuah. Tindakan Hang Jebat melakukan amuk dan membunuh demi membela ‘kematian’ sahabatnya telah membawa kecelakaan kepada dirinya. Ini kerana pantang Melayu menderhaka kepada raja. Sebagai seorang hamba yang setia kepada tuannya, Hang Tuah telah mengenepikan rasa persahabatan dan persaudaraan terhadap Hang Jebat. Hang Tuah tetap menurut titah raja, membunuh Hang Jebat yang dikatakan menderhaka kepada raja. Pembunuhan Hang Jebat menggambarkan kesetiaan Hang Tuah yang tidak berbelah bagi terhadap raja Melaka.

Peristiwa 4
Pembunuhan Budak Cerdik
Nasib malang yang menimpa seorang budak yang mencadangkan agar serangan todak ditepi pantai Singapura yang berkubukan betis manusia digantikan dengan batang pisang. Kepintaran budak cerdik ini telah dicemburui oleh pembesar-pembesar dan mula dicurigai. Lantas atas fitnah pembesar, budak itu telah dihukum bunuh kerana bimbang apabila dia besar kelak cuba merampas kerajaan pula.

Peristiwa 5
Pembunuhan Tun Jana Khatib
Nasib yang menimpa Tun Jana Khatib iaitu orang Pasai yang dihukum bunuh oleh raja Singapura iaitu Paduka Seri Maharaja. Dia telah dituduh cuba menunjuk-nunjukkan kesaktiannya dihadapan permaisuri iaitu isteri Paduka Seri Maharaja dengan menilik sebatang pinang dekat istana raja hingga terbelah. Raja mencemburui keistimewaan Tun Jana Khatib lalu menitahkan hukuman bunuh.

Peristiwa 6
Pembunuhan Anak Sang Rajuna Tapa
Nasib anak perempuan Sang Rajuna Tapa yang merupakan gundik Raja Iskandar Syah amat malang apabila dia telah dihukum bunuh dengan cara disula dan mayatnya telah diletakkan dihujung pasar. Hukuman ini dianggap sebagai satu penganiayaan kerana dia telah difitnah

Peristiwa 7
Kematian Tun Besar Anak Tun Perak
Tun Besar anak Bendahara Paduka Raja Tun Perak telah dibunuh oleh Raja Muhammad kerana kesilapan kecil ketika bermain sepak raga.

Peristiwa 8
Pembunuhan Raja Zainal
Atas titah perintah Sultan Mahmud, Hang Berkat telah membunuh Raja Zainal dengan alasan menggugat keamanan Melaka. Namun hakikat sebenarnya, baginda bimbang Raja Zainal akan merampas kuasa kerajaannya.


Peristiwa 9
Pembunuhan Tun Ali Sandang
Tun Ali Sandang iaitu keluarga Seri Dewa Raja telah dibunuh oleh Tun Isap atas titah perintah Sultan Mahmud. Pembunuhan ini dianngap sebagai satu babak pilu kerana ia membabitkan seorang perempuan iaitu Tun Dewi.

Peristiwa 10
Pembunuhan Seri Bija Diraja
Pembunuhan ke atas Seri Bija Diraja berpunca dari kelewatan beliau mengadap Sultan Mahmud Syah. Namun sebaliknya, Sultan mengesyaki sikap Seri Bija Diraja mengandungi unsur mahu menderhaka.

No comments: