Sunday, October 25, 2009

Pengaruh Internet Kepada Masyarakat

Masyarakat berilmu dapat diwujudkan dengan adanya Internet. Melaluinya, ungkapan “katak di bawah tempurung” tidak timbul lagi. Pengguna komputer hanya perlu menggunakan hujung jari bagi menjengah maklumat terkini dalam semua bidang. Peristiwa yang berlaku di mana-mana sahaja dapat kita ikuti dengan serta-merta. Hal ini membolehkan kita membina satu masyarakat yang berilmu.

Internet merupakan rangkaian komputer komunikasi yang terbesar di dunia. Rangkaian induk ini menggabungkan ratusan ribu sistem komputer lain. Lebuh raya maklumat antarabangsa ini tidak dimiliki sesiapa dan tidak ada pihak yang mampu mencegahnya di bawah konsep langit terbuka. Justeru, internet ini mendatangkan pelbagai implikasi.


Internet bagaikan pisau tajam. Pisau dapat mengukir sesuatu yang indah, dan juga dapat membunuh. Pihak yang tidak bertanggungjawab boleh menyalurkan maklumat yang berunsur pornografi, propaganda, ajaran sesat, dan sebagainya melalui Internet. Adalah sukar bagi kita menghalang, menyaring, dan menyekat penggunaan dan pengaliran bahan negatif daripada meresapi minda kita. Hal ini memang membimbangkan kita. Pemuda pemudi kita mungkin terdedah kepada nilai yang bercanggah dengan nilai murni kita. Akibatnya, keruntuhan sosial mungkin berlaku.

Internet juga akan merevolusikan dunia pendidikan. Pendidikan jarak jauh dapat dijalankan. Pelajar dapat memilih kursus-kursus kesukaannya bila-bila sahaja. Pelajar juga tidak perlu menghadiri kuliah dan tinggal di kampus. Latihtubi dapat dijalankan dan kelemahan pelajar mudah di betulkan. Hal ini mendatangkan kesan yang berlipatganda. Para pengajar dan pelajar juga dapat memperoleh maklumat dan dari universiti di seluruh dunia.

Ketagihan Internet juga akan mengubah hidup dan peribadi seseorang. Ibu bapa akan mengabaikan anak-anaknya. Manusia mungkin memencilkan diri semata-mata hendak menyelami maklumat dalam Internet yang tanpa batasannya. Amalan hidup berkelompok, bagai aur dengan tebing, akan terhakis. Sebaliknya, akan muncul amalan enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Justeru, Internet mampu merenggangkan hubungan sesama manusia.


Ledakan teknologi maklumat dan komunikasi banyak mengubah kehidupan manusa. Kemajuan ini membukajendela kepada kemungkinan, kegilaan, dan malapetaka baru, bergantung pada cara-cara kita memanfaatkannya atau menyalahgunakannya. Ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka ketika mereka melayari Internet. Ketahanan diri itulah yang menjamin kita tidak diracuni unsur negatif melalui Internet.

No comments: