Followers

Saturday, August 1, 2009

PENDEKATAN DAN KAEDAH MENGAJAR SASTERA

Perbezaaan konsep antara:
pendekatan
kaedah
strategi
teknik
aktiviti

Konsep Pendekatan
Makna Kamus:
Perbuatan mendekati; jalan ke arah sesuatu; cara memperlakukan sesuatu… (Kamus Oxford)

Rumusan:
Usaha untuk mendekati (memahami)
Bertitik tolak daripada suatu andaian/asumsi
Terbina berasaskan teori, kepercayaan, falsafah.

Pendekatan ialah prosedur atau tata kerja bagi memahami sesuatu. Kefahaman yang diperoleh itu akan dijana berdasarkan ilmu bantu, kefahaman, teori, falsafah dan agama yang digunakan.

Antara ilmu bantu yang boleh digunakan untuk mendekati kesusasteraan ialah Teori Struktural, Teori Psikologi, Teori Sosiologi, Ilmu Estetika, Agama Islam, Stilistik dan Hukum Linguistik, Bidang Komunikasi dsb.

Maksud Kaedah dalam Kamus

Menurut Kamus Oxford (Kamus Elektronik Besta):

Kaedah ialah cara membuat sesuatu, susunan, kebiasaan yang teratur.


Konsep Kaedah

Kaedah pengajaran dalam erti kata yang mudah merupakan jalan, cara, susunan, proses dan prosedur pengajaran yang teratur. Hal ini bermakna, setelah menentukan pendekatan (cara memahami) yang ingin digunakan, maka pendekatan dijalankan atau dilaksanakan prosesnya menggunakan kaedah yang sesuai.



Dalam erti kata yang lain, pendekatan merupakan kefahaman tentang aspek yang diajarkan sedangkan kaedah merupakan proses memindahkan kefahaman itu kepada pelajar-pelajar. Dalam persediaan mengajar kaedah ini diperhalus dalam bentuk [jalan, cara, susunan, proses dan prosedur] yang mengandungi langkah-langkah pengajaran:

Konsep Strategi

Menurut Kamus Oxford, strategi merupakan muslihat atau rancangan untuk mencapai matlamat tertentu. Dalam konteks pendidikan, strategi yang dimaksudkan terbahagi kepada dua, iaitu strategi gabung jalin dan strategi penyerapan.



Konsep gabung jalin dan penyerapan berhubung kait dengan konsep pengayaan, pendidikan bersepadu dan penyerapan kemahiran bernilai tambah. Kedua-dua strategi ini digunakan dengan hasrat mencapai matlamat atau tujuan pendidikan yang lebih umum berbanding objektif pengajaran dan hasil pembelajaran.
Konsep Teknik

Menurut Kamus Oxford, teknik merupakan kemahiran (skill) dan kaedah mencipta hasil seni. Dalam konteks pendidikan, teknik merupakan suatu kemahiran (skill) untuk MEMPERMUDAH kaedah pengajaran dalam proses pemindahan kefahaman tentang isi pelajaran. Ia bersifat halus dan seni yang mampu menggalakkan kesan yang lebih optimum.
Konsep Aktiviti

Menurut Kamus Oxford, aktiviti bermaksud gerak kerja atau kegiatan. Dalam konteks pendidikan, aktiviti merupakan kegiatan yang melibatkan pergerakan pelajar secara aktif dan lebih bersifat gabungan seimbang antara aktiviti kognitif, psikomotor dan afektif.



Aktiviti dimanfaatkan untuk membantu teknik dan proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, jika teknik main peranan dipilih,bentuk aktiviti yang lebih khusus ditentukan sama ada jenis lakonan, simulasi, pantomim, dsb.

Bahagian 2: hubungan antara pendekatan dan kaedah pengajaran


ciri-ciri P&P :


Pembelajaran berpusatkan pelajar
Seronok dan aktif
Bermain dan belajar lebih
Menggalakkan koperatif/kolaboratif
Penyelesaian masalah dan produktif
Keusahawanan (entrepreneurship)
Menggalakkan komunikasi
Literasi berfungsi
Teori dan aplikasi
Pembelajaran berasaskan tugasan dan penyelidikan
Subjek merentas kurikulum (gabung jalin dan penyerapan)
Hubungan bilik darjah dan luar sekolah
Pendidikan sepanjang hayat (long-life education)

jenis-jenis pendekatan dan kaedah P&P KM yang sering digunakan
Sedikit penjelasan tentang lapan pendekatan yang sering digunakan


1) Pendekatan Struktural
Pendekatan Struktural melihat sesuatu berdasarkan struktur dan fungsi. Pendekatan ini cenderung membicarakan elemen-elemen yang membina objek.

Jika melihat rumah, pendekatan ini akan melihat unsur-unsur yang membangun rumah seperti bahan binaan yang mungkin terdiri daripada jenis kayu, simen, gred batu bata, jenis atap, jendela, pintu dan fungsi ruang-ruang atau bahagian rumah tersebut.

Karya sastera pula dinilai berdasarkan unsur fizikal seperti watak, latar, teknik dan sebagainya yang membangun karya sastera itu dan fungsi-fungsi unsur tadi untuk menyampaikan isi (tema dan persoalan) karya sastera.


2) Pendekatan Psikologi
Pendekatan ini digunakan dengan mengaplikasi teori-teori tertentu yang terdapat dalam ilmu psikologi seperti Teori Frued, Teori Stimulus Respon, Teori Perkembangan Kanak-Kanak, Teori Kognitif (Mentalis), Teori Tingkah Laku (Behaviuris), Teori Afektif dan banyak lagi. Pendekatan Psiokologi digunakan dengan melihat karya sastera sebagai catatan kejiwaan dan pemerian tingkah laku watak dan penulis.



3) Pendekatan Sosiologi
Pendekatan Sosiologi digunakan apabila melihat karya sastera sebagai testamen budaya, kesenian, gaya hidup dan politik. Aspek-aspek yang menjadi sorotan antaranya ialah latar masyarakat, latar budaya, latar peralatan, gaya hidup masyarakat watak. Terdapat pula pembicaraan karya sastera yang melihat kedudukan penulis karya yang dibicarakan dalam kalangan masyarakat.



4) Pendekatan Sejarah

Pendekatan Sejarah sesuai digunakan untuk membicarakan karya sastera historiografi. Walaupun karya-karya jenis ini memaparkan kisah sejarah dalam bentuk kreatif, namun aspek sejarahnya masih boleh dibandingkan dengan catatan yang terdapat dalam buku sejarah. Membaca karya sastera historiografi sambil merujuk catatan sejarah akan menimbulkan suatu pengalaman membaca yang menyeronokkan berbanding membaca buku sejarah semata-mata. Karya sastera selain historiografi boleh dibicarakan melalui pendekatan ini jika terdapat unsur-unsur sejarah terkadnung di dalamnya.



5) Pendekatan Estetika

Pendekatan Estetika digunakan apabila ingin menikmati karya sastera sebagai hasilan seni. Melalui pendekatan ini, ukuran keindahan digunakan untuk menilai aspek isi dan bentuk karya sastera. Pengkritik karya sastera yang menggunakan pendekatan ini sering menggunakan ukuran kepelbagaian, keseimbangan dan kesatuan unsur-unsur yang membangun karya sastera sebagai penentu tahap keindahan sesebuah karya sastera. Dalam Kesenian Islam, unsur ini disebut Ahad, Adil dan Karam.



6) Pendekatan Etika Islam (MIB)

Menilai karya sastera menggunakan Etika Islam (MIB) bermakna melihat karya sastera melalui kaca mata agama Islam. Melalui pendekatan ini, segala aspek atau unsur yang terkandung dalam isi dan bentuk sesebuah karya sastera wajib tidak bertentangan dengan ajaran dan kepercayaan agama Islam. Buku Asas-asas Kritik Sastera tulisan Yahya M.S merupakan panduan yang terbaik bagi menggunakan pendekatan ini. Secara ringkas, teras pembicaraan (kritikan) dan pengajaran sastera menurut Etika Islam ada tiga, iaitu teras kebajikan, teras ketakwaan dan teras ketatasusilaan (Hashim Awang, 1998).


7) Pendekatan Stilistik

Pendekatan Stilistik pula cenderung melihat kemampuan pengkarya memanipulasi penggunaan bahasa. Melalui pendekatan ini aspek gaya bahasa seperti gaya bahasa perbandingan, pertentangan, pertautan dan pengulangan menjadi fokus pembicaraan. Terdapat pula pengkritik yang memanfaatkan ilmu retorik yang diasaskan oleh Aristotles bagi menilai kemampuan pengkarya menggunakan bahasa.

8) Pendekatan Linguistik

Pendekatan Linguistik melihat karya sastera sebagai korpus bahasa. Pendekatan ini lebih berminat untuk membicarakan penggunaan bahasa baik dari segi morfologi, sintaksis bahkan ke peringkat wacana. Selain itu, pendekatan ini juga boleh digunakan untuk melihat aspek semantik. Penyerapan karya sastera dalam pengajaran bahasa boleh menggunakan pendekatan ini untuk mengajarkan unsur-unsur bahasa berdasarkan sukatan pelajaran bahasa Melayu. Penggunaan jenis kata, pembentukan kata, jenis ayat, ragam ayat, bentuk ayat dan sebagainya itu boleh dijadikan fokus utama manakala nilai-nilai yang terkandung dalam karya sastera yang digunakan boleh dijadikan sebagai fokus sampingan, begitu juga halnya dengan kemahiran berbahasa yang lain.



SEDIKIT PENJELASAN TENTANG LIMA KAEDAH


1) Kaedah Struktural


Pengajaran sastera melalui kaedah ini bermaksud mengajarkan elemen-elemen yang membangun karya sastera.

Karya sastera seperti novel, drama, hikayat, cerita rakyat dan cerpen diajarkan melalui pembicaraan tentang elemen-elemen seperti watak dan perwatakan yang sering dibahagikan kepada watak protagonis, antagonis, neutral, watak pipih, watak bulat dan sebagainya; latar cerita seperti latar tempat, latar peralatan, latar budaya, dan latar waktu; jenis sudut pandangan pencerita yang terbahagi kepada sudut pandangan pencerita, sudut pandangan watak, sudut pandangan kamera dan sudut pandangan bawah sedar; sifat sudut pandangan seperti maha tahu, tahu terhad, dan jahil; jenis perbualan seperti dialog, monolog, multilog; teknik penceritaan seperti imbas muka, imbas kembali; jenis plot seperti kronologi, antikronologi, plot mudah, plot kompleks dan tanpa plot; dan isi karya sastera, iaitu persoalan, tema, pengajaran dan nilai.

Kaedah ini melihat semua unsur yang terdapat dalam karya sastera namun tidak terlalu mendalam dari segi jangkauan penjelasannya. Jika ingin melihat sesuatu unsur dengan lebih mendalam, maka kaedah berfokus digunakan.


2) Kaedah Mengalami dan Menghayati


Kaedah ini lebih mengutamakan kemampuan untuk menikmati karya sastera. Mengajarkan karya sastera menggunakan kaedah ini lebih mementingkan kebolehan pelajar-pelajar untuk mengalami dan menghayati unsur-unsur yang terkandung dalam karya sastera. Melalui kaedah ini, karya puisi atau sajak dinikmati dengan cara mendeklamasinya. Perwatakan watak difahami lalu dilakonkan melalui aktiviti lakonan, drama atau improvisasi. Karya sastera seperti pantun pula boleh digunakan dalam aktiviti berbalas pantun atau dinyanyikan mengikut irama-irama tertentu seperti joget, japin, dangdut dan yang bersesuaian.




3) Kaedah Berfokus


Kaedah ini cenderung membicarakan karya sastera secara terperinci. Untuk memenuhi keperluan ini, kaedah ini memilih aspek atau unsur tertentu untuk dijadikan fokus pengajaran dan pembelajaran. Sebagai contoh, aspek penggunaan bahasa dalam dialog boleh dijadikan sebagai fokus utama manakala aspek watak dan perwatakan pula boleh dijadikan fokus sampingan. Melalui kaedah ini, pengajaran boleh terdiri daripada satu fokus utama; satu fokus utama dan satu fokus sampingan; atau satu fokus utama dan pelbagai fokus sampingan.

4) Kaedah Perbandingan

Kaedah perbandingan digunakan untuk membuat perbandingan antara unsur fizikal dan isi karya sastera A dan karya sastera B. Karya-karya sastera yang dibandingkan mungkin karya sastera tempatan atau perbandingan dilaksanakan antara karya sastera tempatan dan karya sastera luar negara. Unsur-unsur yang dibandingkan antaranya watak dan perwatakan, pemilihan latar, atau hal-hal yang lebih berat seperti falsafah, persoalan dan tema. Kaedah ini boleh digunakan untuk melatih pelajar-pelajar untuk menguasai kemahiran berfikir yang tinggi.

5) Kaedah Eklektik

Kaedah Eklektik menggabungkan dua atau lebih kaedah atau pendekatan yang ada. Kaedah ini digunakan apabila banyak aspek atau unsur yang diajarkan sekali gus. Watak dan perwatakan boleh diajarkan melalui pendekatan psiokologi, latar diajarkan melalui pendekatan sosiologi, manakala aspek tema dan ajaran diajarkan melalui pendekatan etika Islam.


APLIKASI P&P KESUSASTERAAN MELAYU


Pengajaran dan Pembelajaran Kesusasteraan Melayu melalui Pendekatan Maya

Kegiatan lapangan: Kajian, Wawancara dsb
Lawatan/Kunjungan
Menghasilkan karya sastera
Pementasan Teater
Deklamasi Sajak
Menambang Syair
Berbalas Pantun
Perbahasan/Pidato/Forum/Ceramah Sastera
Pertandingan/Peraduan
Pameran dan banyak lagi

BLOG: Potensinya?
Alat komunikasi
Sumber maklumat
Dokumentasi projek/aktiviti/kajian sekolah/pelajar
Wahana karya pelajar
Pameran sastera
Alat bantu belajar dan mengajar
jaringan sekolah-sekolah
jaluran berita
Kongsi nota belajar dan mengajar
Ganti papan kenyataan/informasi, dsb.



BLOG POPULAR :

http://kuntumansastera.blogspot.com/

lhttp://bahterabahasa.blogspot.com/

lhttp://anjungbahasa.blogspot.com/

lhttp://latihanmengajar.blogspot.com/

lhttp://majubahasaspn21.blogspot.com/

1 comment:

Anonymous said...

like this. Amat membantu