Saturday, August 1, 2009

IMPAK MORAL POSITIF DALAM NOVEL

Terpegun saya dengan karya-karya hebat keluaran Alaf 21. Negara kita kaya dengan nilai dan norma masyarakat.

Lantaran gabungan pelbagai etnik dan agama serta tradisinya, semua kaum di Malaysia menilai keluarga sebagai asas komuniti dengan menekankan nilai menghormati ibu bapa, orang tua dan orang bijak pandai.

Wacana ini saya perolehi melalui konklusi pembacaan novel Kasih Antara Kita karya Aleya Anessa. Nilai masa kini berbeza dengan nilai masyarakat tradisional.

Oleh itu, perlu pendedahan kepada perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat supaya memahami bahawa perubahan ini mampu memberi kesan baik atau kesan buruk kepada generasi masa depan. Wadah ini menular ke minda saya melalui penerokaan minda dalam menghayati novel Kasih Yang Suci lakaran tinta penulis Meen Zulaikha.

Manusia kini lebih mementingkan diri dan tidak mengenali jiran-jiran secara amnya. Oleh itu, negara kita memerlukan persiapan diri yang kukuh, dari aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi. Kita juga dapat melihat proses modenisasi yang sedang berlaku mempunyai koordinasi dan implikasi ke atas idea, pemikiran, sistem nilai, ‘world view’ dan budaya masyarakat juga negara.

Tunjang kuasa wang sangat kuat mempengaruhi setiap insan jika tidak ada kekebalan ilmu dunia dan akhirat yang penuh di dada. Hal inilah saya singkap dalam pembacaan novel Mikhail karya Ramlee Awang Murshid.

Kita memerlukan asas yang kukuh dan akar prinsip moral, akhlak dan etika yang kuat untuk menangkis dan menapis gejala penularan wabak pembangunan agar boleh direalisasi ke jalan yang baik.

Khadijah Hashim dalam novelnya, Badai Semalam menghantar pengalaman terbaik kepada saya dalam proses melayari novel ini.

Manakala, karya Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan tidak kering dengan unsur persamaan terhadap alam yang memberi imej suka duka pahit maung kehidupan golongan petani di Kedah. Begitu mencengkam dan menjerut emosi membaca karya beliau.

Perjalanan emosi yang sungguh memberi impak kepada saya dalam kehidupan ini. Konklusinya di sini, tahniah buat warga Alaf 21 dan penulis novel tanah air yang menyampaikan impak moral positif melalui pengkaryaan novel.

No comments: