Thursday, May 14, 2009

Laman Sastera : Berkenalan Dengan Kesusasteraan Melayu

APA ITU KESUSASTERAAN MELAYU ???
Kesusasteraan merujuk kepada hasil seni yang disampaikan melalui bahasa. Dari segi hurufiahnya, perkataan kesusasteraan bermaksud "kumpulan buku-buku yang indah bahasanya dan baik isinya." Pada erti kata yang lebih luas, kesusasteraan boleh dimaksudkan sebagai segala pengucapan yang indah-indah, sama ada ia tertulis atau tidak.

Kesusasteraan pada lahiriahnya wujud dalam masyarakat manusia melalui bentuk tulisan dan juga wujud dalam bentuk lisan. Dalam kehidupan sehari-harian, kedua-dua bentuk kesusasteraan sememangnya tidak terpisah daripada kita. Misalnya, kita akan mendengar muzik yang mengandungi lirik lagu yang merupakan hasil sastera. Dan kita sendiri pula akan menggunakan pelbagai peribahasa dan pepatah yang indah-indah yang sebenarnya juga merupakan kesusasteraan.

Pada kesimpulannya, kesusasteraan merupakan sebahagian daripada budaya manusia. Ia adalah ekspresi diri manusia dan juga manifestasi estetik manusia terhadap bahasa yang dipertuturkan oleh mereka sendiri.

Kesusasteraan dapat dilahirkan dalam pelbagai bentuk bahasa. Dan secara kasarnya ia boleh dikategorikan kepada 2 kategori yang besar menurut bentuk bahasa yang digunakan, yakni: Prosa dan Puisi

Prosa merujuk kepada hasil kesusteraan yang ditulis dalam ayat-ayat biasa, yakni dengan menggunakan tatabahasa mudah.
Biasanya ayat-ayat dalam kesusasteraan akan disusun dalam bentuk karangan.
Prosa adalah satu bentuk kesusasteraan yang lebih mudah difahami berbanding dengan puisi. Contoh bagi kesusasteraan prosa ialah: cerpen, novel, skrip drama, essei dan sebagainya.

Puisi merujuk kepada hasil kesusasteraan yang ditulis dengan "tidak menuruti tatabahasa". Ia sebenarnya tidak terdiri daripada ayat-ayat yang lengkap, melainkan terdiri daripada frasa-frasa yang disusun dalam bentuk baris-barisan.
Pada lazimnya, puisi merupakan bahasa yang berirama dan apabila dibaca pembaca akan berasa rentaknya. Contoh bagi kesuasteraan puisi termasuklah: Sajak, Syair, Pantun, Gurindam, Lirik,Seloka, Mantera dan sebagainya.
Sekiranya, hasil kesuasteraan dikategorikan secara semantik, yakni dari segi isi, kesusasteraan boleh dibahagikan kepada dua kategori yang besar, yakni: Naratif Bukan Naratif

Kesusasteaan Naratif merupakan hasil sastera yang mengandungi perkembangan plot. Dengan kata lain, ia adalah bahan sastera yang menceritakan suatu peristiwa, yang mengandungi unsur watak, masa berlaku dan tempat berlaku.
Kesusasteraan ini biasanya dilahirkan dalam bentuk prosa, tetapi dalam keadaan tertentu ia juga dilahirkan dalam keadaan puisi, seperti apa yang dimaksudkan sebagai syair naratif seperti: Syair Siti Zubaidah.
Kesusasteraan naratif adalah satu hiburan yang biasa terdapat dalam kehidupan manusia. Dalam masyarakat moden, kita dapat menjumpai kesusasteraan naratif dalam bentuk cerpen, komik, filem, drama dan sebagainya.

Kesusasteraan bukan Naratif merujuk kepada hasil kesusasteraan yang tidak mengandungi plot. Bahan sastera ini mengandungi lebih banyak ekspresi pengarang berbanding dengan kesusasteraan naratif.
Kesusteraan ini lebih banyak dilahirkan dalam bentuk puisi.

No comments: